Ahad, 8 March 2015 | 6:29pm

EXCO Perak sokong TNB beli Integrax

IPOH: Rancangan pengambilalihan Integrax Bhd yang menguasai Pelabuhan Lumut, jika diluluskan oleh pemegang sahamnya, akan melonjakkan ekonomi Perak dengan memberi lebih banyak peluang pekerjaan dan perkhidmatan kepada penduduk, kata seorang EXCO kerajaan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, turut menyifatkan pelaburan TNB di Perak sebagai amat penting dalam usaha penjanaan serta menjamin sumber tenaga elektrik yang berterusan bukan saja di Perak malah seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada masa sama, ia turut menambah peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat dan negeri.

"Sejak TNB bertapak di Manjung pada tahun 2003, khususnya di TNB Janamanjung, pelaburan mereka bagi tiga janakuasa saja mencecah RM6.8 bilion yang turut menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan hingga ke hari ini.

"Hampir 1,000 peluang pekerjaan disediakan untuk tiga janakuasa yang beroperasi sekarang," katanya yang turut mengalu-alukan tawaran pengambilalihan oleh TNB itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd, sudah memberi jaminan TNB komited sepenuhnya untuk membangun ekonomi Perak menerusi pelabuhannya yang besar serta stesen-stesen janakuasanya. TNB juga akan melabur secara berterusan di Perak menerusi inisiatif ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

Zainol Fadzi turut menyifatkan pengambilalihan Integrax oleh TNB adalah bagi menjamin sumber bekalan arang batu yang diperlukan oleh beberapa stesen janakuasa berkenaan.

"Ia perlu dilihat secara rasional. Ia bukan sebagai kepentingan atau entiti perniagaan tetapi lihat aspek kepentingannya kepada negara dan seterusnya rakyat," katanya.

Katanya, tiga janakuasa sedia ada itu menyumbang hampir 10 peratus bekalan elektrik untuk Semenanjung Malaysia dan menerusi penambahan dua lagi janakuasa di Manjung yang apabila siap kelak, akan mencecah hampir 18 peratus.

Oleh itu, katanya, langkah TNB perlu dilihat dari sudut menguasai operasi pelabuhan untuk memastikan bekalan arang batunya tidak tergugat.

"Selain tanggungjawab penting dan berat kepada TNB, ia juga memerlukan kawalan atau bidang kuasa bagi memastikan penghantaran arang batu daripada pelabuhan ke unit-unit janakuasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corp Berhad, Datuk Aminuddin Md Desa pula menyifatkan penjualan ekuiti perbadanan itu dalam Integrax kepada TNB akan memberi pulangan pelaburannya pada kadar premium yang menarik iaitu RM153.8 juta.

Ini membolehkan syarikat itu meningkatkan pelaburannya dalam sektor hospitaliti, pelancongan dan pembangunan hartanah. - BERNAMA

Berita Harian X