Ahad, 8 March 2015 | 12:46pm

Durakovic label Selangor hebat; Azman kecewa benteng PDRM leka


PEMAIN Selangor Andik Vermansyah (tengah) melepasi kawalan 2 pemain PDRM FC Afifamiruddin (kiri) dan V Thirumurugan dalam perlawanan Liga Super, di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Kejayaan Selangor meraih kemenangan sulung menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi disebabkan pasukan itu lebih baik dan bukan semata-mata berpunca daripada kesilapan pertahanan lawan.

Perkara itu ditegaskan oleh jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic bagi menjawab kenyataan jurulatih PDRM, Azman Adnan yang menyifatkan tiga daripada empat gol dihasilkan Selangor itu disebabkan kesilapan dan kelekaan barisan pertahanan mereka sendiri.

"Kami beraksi lebih baik. PDRM tetap pasukan yang baik. Saya rasa jaringan diperoleh itu memang wajar selepas pemain kami terutama di jentera tengah dan serangan bekerja keras.

"Jadi bukanlah kerana barisan pertahanan PDRM tidak beraksi baik tetapi jelas persembahan malam ini (malam tadi) adalah milik pemain dan pasukan Selangor," kata Durakovic ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.

Selangor mendahului 2-0 menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-23 dan Afiq Azmi minit ke-46 sebelum PDRM merapatkan kedudukan hasil jaringan Dramane Traore, minit ke-58.

Namun kemasukan K Gurusamy dan Abdul Hadi Yahya menambah sengat di barisan tengah dan depan Selangor apabila dua lagi gol berjaya diperoleh Selangor menerusi Abdul Hadi pada minit ke-74 dan Guilherme De Paula, minit ke-78.

"Saya sudah katanya, masanya akan tiba. Sebelum ini pun kami berjaya cipta banyak peluang, cuma gagal disudahkan. Tapi pada perlawanan ini, semuanya menjadi.

"Saya rasa Selangor kini pada prestasi yang baik. Kami tidaklah dibarisi keseluruhan pemain berpengalaman. Tapi pemain seperti Syamim Othman (penjaga gol), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Ahmad Hazwan Bakri dan Raimi Md Nor beraksi baik pada perlawanan ini," jelas Durakovic.


KUMPULAN dipercayai penyokong Selangor membakar suar sejurus tamat perlawanan Liga Super, di Stadium Shah Alam yang menyaksikan Selangor menang 4-1 ke atas PDRM FC. - Foto Osman Adnan

Sementara itu, Azman berkata, selain kesilapan mudah dilakukan barisan pertahanannya, bekas penyerang Selangor itu turut mengakui mereka sedikit tertekan beraksi di hadapan ramai penyokong Selangor biarpun PDRM turun sebagai tuan rumah.

"Boleh dikatakan perlawanan seimbang kerana pemain saya tetap beraksi dengan baik. Cuma kesilapan, tiga daripada empat gol Selangor itu hasil daripada kesilapan dan kelekaan pemain pertahanan PDRM yang menghadiahkan gol mudah.

"Memang saya akui bukan mudah untuk pemain kami beraksi di stadium keramat Selangor ini. Tapi kita sudah cuba beri yang terbaik pada perlawanan ini dan saya akan memperbetulkan segala kelemahan untuk aksi berikutnya," kata Azman.

PDRM kini turun ke tangga keenam dengan enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan manakala Selangor di tangga kelapan dengan lima mata menerusi satu kemenangan, dua seri dan sekali tewas.

Untuk perlawanan seterusnya Sabtu ini, Selangor akan bertemu Sarawak di Stadium Shah Alam manakala PDRM bertemu Perak di Ipoh.

Berita Harian X