Ahad, 8 March 2015 | 6:07am

Pendekatan Adenan disambut baik masyarakat Cina

Ketika meraikan Tahun Baharu Cina di Lundu baru-baru ini, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem disambut mesra masyarakat Cina. Pada majlis itu, Adenan sekali lagi menegaskan beliau ialah Ketua Menteri untuk semua. Masyarakat Cina di Sarawak gembira dengan langkah Adenan menambah jumlah peruntukan untuk sekolah Cina sebanyak RM4 juta, peningkatan RM1 juta berbanding tahun lalu. Masyarakat Cina menganggap peruntukan itu durian runtuh dan ang pau terbaik pernah diterima mereka.

Kerajaan Sarawak berjanji terus memberi sokongan dan bantuan terhadap pelajaran masyarakat Cina, termasuk cuba mendapatkan pengiktirafan bagi sijil Unified Examination Certificate (UEC) daripada Kerajaan Persekutuan. UEC adalah isu duri dalam daging dan berlarutan untuk sekian lama. Jika pengiktirafan diberikan, ini bermaksud ia perlu meliputi seluruh negara.

Iktiraf UEC

Bersediakah kerajaan mengiktirafnya? Meskipun UEC diiktiraf universiti luar negara, termasuk Universiti Oxford dan Universiti Cambridge, sijil berkenaan tidak diiktiraf kerajaan untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi awam dan permohonan bagi jawatan dalam perkhidmatan awam. Justeru, isu berkenaan sering dieksploitasikan DAP menjelang pilihan raya. Disebabkan isu itu terlalu dekat di hati orang Cina, maka ia menjadi kontroversi dan berupaya mempengaruhi pola pengundian mereka.

Kenyataan bahawa kaum Cina bukan pendatang tetapi anak Sarawak selain menganggap kalimah Allah bukan isu di Sarawak, turut menggembirakan masyarakat Cina. Masyarakat Cina yang sebahagiannya Kristian, menyifatkan tindakan beliau mengekang unsur ekstremis yang cuba dibawa pihak tertentu dari Semenanjung. Beberapa individu, termasuk seorang ahli akademik bertaraf profesor disekat daripada memasuki Sarawak, sesuai dengan hak Sarawak di bawah Perlembagaan.

Persoalan sekarang ialah mampukah semua itu mengubah pola pengundian pengundi dan masyarakat Cina di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 nanti atau mereka kekal menyokong DAP? Pada tahun 2011, DAP yang bertanding di 15 kerusi majoriti Cina berjaya menawan 12 daripadanya sementara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertanding di 19 kerusi, kecundang di 16 kerusi. Parti tertua Sarawak yang mewakili kaum Cina itu hanya memenangi kerusi majoriti Bumiputera. Di kerusi Senadin, SUPP hanya menang majoriti 58 undi. Persoalannya, mampukah SUPP mempertahankan kerusi ini atau ia akan terlepas ke tangan DAP?

Pergeseran SUPP, UPP

Meskipun Adenan cuba menyelesaikan isu yang sering menjadi perhitungan bagi pengundi Cina, namun yang menjadi masalah ialah selagi ada masalah membabitkan pergeseran antara SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dibimbangi tidak akan berlaku banyak perubahan dari segi pola pengundian nanti.

Masalah ini perlu ditangani dengan bijaksana melalui formula menang-menang. Itu sebabnya, Adenan meminta kedua-dua pihak menyelesaikan pertelingkahan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Selagi ia berlarutan dengan kedua-dua pihak saling melancarkan kritikan, masyarakat Cina akan muak dengan sikap mereka.

Dalam pilihan raya negeri lalu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tulang belakang Barisan Nasional negeri, menang semua 35 kerusi. Parti Rakyat Sarawak (PRS) tewas satu daripada lapan kerusi ditandinginya, manakala Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) kalah di dua daripada lapan kerusi. Parti Keadilan Sarawak (PKR) memenangi tiga daripada 49 kerusi dan semua parti pembangkang lain kalah.

Kemenangan DAP di kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya itu berpunca daripada kekecewaan mereka terhadap kepemimpinan negeri dan SUPP. Sama ada DAP dapat mengekalkan momentum itu, bergantung kepada sejauh mana pemimpin UPP dan SUPP dapat berkompromi.

Menyedari peluangnya di bandar sudah mencapai takat tepu selepas pilihan raya lalu, DAP cuba memperluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar dan separa bandar melalui projek Impian Sarawak yang lebih bersifat simbolik politik dengan membina satu dua projek kecil dan membantu penduduk luar bandar seadanya.

Dalam pilihan raya akan datang parti itu berhasrat bertanding di 30 kerusi. Sokongan terhadapnya hanya diberi mereka yang antikerajaan di kawasan bandar. Bagi sebahagian pengundi Cina, mereka berasa tidak rugi apa-apa jika terus menyokong DAP. Inilah realiti yang perlu dihadapi BN.

Justeru, SUPP terutamanya perlu melindungi kepentingan kaum Cina dengan melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

Penulis ialah Penulis Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X