Jumaat, 6 March 2015 | 7:13pm

Jelajah sulung ABPBH di Kedah


FINALIS Anugerah Bintang Polular Berita harian (ABPBH) 2014, dari kiri, Ayda Jebat, Adira, Asfan dan Achey membuat demonstrasi pelupusan sisa dapur bersama penaja ABPBH 2014, Solid Waste Corporation Malaysia (SW Corp) pada Program Pengasingan Sisa Di Sumber Bersama Artis di Taman Sri Baiduri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SUNGAI PETANI : Siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 mendapat sambutan hangat kira-kira 500 penduduk Taman Sri Baiduri, di sini, yang setia menanti finalis sejak jam 2 petang.

Kedah adalah lokasi terawal dalam jadual promosi ABPBH bagi musim ke-28 dengan Taman Sri Baiduri sebagai destinasi pertama hari ini manakala sesi bertemu peminat menyusul di Village Mall, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamsul Azree Shamshir, berkata promosi jelajah yang menjadi tradisi sebelum malam kemuncak bukan hanya bertujuan merapatkan hubungan Top 5 dengan peminat, menghargai pembaca akhbar BH malah menyumbang semula kepada masyarakat.

"Sebagai pengelola majlis pengiktirafan berprestij ini, kami terharu melihat sambutan penduduk yang menunggu kehadiran selebriti kesayangan dan BH dengan tangan terbuka.

"Bertepatan tema Cinta, ABPBH bersama SWCorp selaku penaja dan finalis menjayakan program khidmat masyarakat (CSR) di sini menerusi aktiviti menanam pokok dan pengasingan sisa sumber," katanya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SW Corp, Datuk Ab Rahim Md Noor.

Barisan finalis yang menyertai program CSR ialah Adira, Indah Ruhaila, Ayda Jebat, Dottie, Asfan, 6ixth Sense dan penyampai radio Klasik, Anisma Azwati Ahmad.

Sementara itu, kira-kira 10 lagi calon Top 5 akan menyertai persembahan dan pelbagai acara sampingan di pusat beli-belah Village Mall yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang esok.

Antara selebriti lain yang bakal muncul termasuk Adi Putra, Fara Fauzana, AG, Nad Zainal , Didie Alias, Deen, RJ serta Enot.

Selepas Sungai Petani, rombongan jelajah akan berkunjung ke Pasir Gudang, Johor pada 13 dan 14 Mac ini sebelum melengkapkan misi bertemu peminat di Kuantan, Pahang (21 dan 22 Mac).

Malam kemuncak ABPBH 2014 akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands pada 5 April ini dan disiarkan secara langsung di TV3 serta Hotfm.

Berita Harian X