Jumaat, 6 March 2015 | 12:19pm
REAKSI pengurus Manchester United, Louis van Gaal ketika mengendalikan perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Sunderland di Old Trafford, bulan lepas. - Foto AFP

Van Gaal 'amat jengkel' laporan perselisihan dengan Giggs

MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Louis van Gaal secara berang menafikan spekulasi media yang mengatakan berlaku perselisihan membabitkan dirinya dengan penolong pengurus, Ryan Giggs.

Reaksi Van Gaal ketika Ashley Young menjaringkan gol lewat kemenangan 1-0 United ke atas Newcastle United di St James' Park, Rabu lepas menceritakan dia cukup gembira.

Sebaliknya, reaksi yang ditampilkan Giggs cukup berbeza dan gagal untuk memberikan reaksi diharapkan Van Gaal sekalipun kedua-duanya duduk bersebelahan.

"Saya tidak mahu khabar angin," kata Van Gaal yang menafikan laporan media mengenai perkara itu. "Saya amat jengkel dengan soalan ini kerana semua orang boleh melihat kami mempunyai hubungan yang baik.

"Bukan saja dengan Ryan, namun dengan semua staf dan pemain."

Giggs dilantik pembantu Van Gaal tahun lepas selepas mengemudi pasukan utama kelab itu bagi empat perlawanan sebagai pengendali sementara selepas pemecatan David Moyes.

Bekas pemain United berusia 41 tahun itu dilabel sebagai pilihan sebagai pengurus United di masa depan dan berpotensi untuk menggantikan tempat Van Gaal pada 2017.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Giggs selepas sidang media mingguan, Van Gaal mulanya berlawak dengan berkata "hubungan mereka amat buruk" sebelum mendedahkan rasa jengkelnya dengan soalan mengenai subjek itu.

"Saya fikir ia adalah sesuatu yang mencadangkan beberapa perkara, jadi saya merasa amat jengkel. Saya ingin bercakap perkara ini kepada media. Saya tidak gembira."

United akan berdepan Arsenal dalam suku akhir Piala FA di Old Trafford, awal Selasa ini. - AFP

Berita Harian X