Jumaat, 6 March 2015 | 1:27am

Kawasan pelupusan sampah di Slim River terbakar


KEBAKARAN di tempat pelupusan sampah di Kampung Penderas, Slim River. - Foto BERNAMA

IPOH: Lebih 1.6 hektar kawasan pelupusan sampah di Kampung Penderas, Slim River terbakar mengakibatkan asap tebal menyelubungi kawasan itu.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memadam kebakaran yang bermula pada 7.08 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Md Zin Mohd Faaidin berkata dua jentera bersama lima anggota dikejar ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran pada 8 malam.

"Namun, kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 9.58 malam. Tindakan pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki dua nozel 'fix monitor' air tangki dan pili bomba," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau tidak menolak kemungkinan cuaca panas menjadi antara faktor selain terdapat pelbagai bahan api di tapak pelupusan sampah itu.

Turut terbakar semalam ialah tempat pelupusan sampah yang terletak bersebelahan Pusat Insinerator Pulau Pangkor di Sungai Pinang Kecil.

Pasukan bomba yang menerima panggilan pada jam 6.42 pagi berhubung kejadian itu, tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 7.30 pagi. - BERNAMA

Berita Harian X