Jumaat, 6 March 2015 | 12:17am
Ayda Jebat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Ayda Jebat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Ayda Jebat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Ayda Jebat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jangan terasa hati hubungan saya dengan Zul - Ayda Jebat


AYDA Jebat bersama peminat di Jelajah ABPBH di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Ya, saya menyukai Zul Ariffin. Siapa tidak suka jejaka macho sepertinya dan saya yakin semua wanita menaruh hati padanya.

"Bagaimanapun, hubungan kami tidak lebih sebagai rakan sekerja. Lagipun, semua sedia maklum Zul sudah memiliki kekasih hati. Jadi saya tidak mahu pihak di sana terasa hati apabila kami terus dikaitkan," jelas Ayda Jebat.

Biarpun drama Rindu Awak 200% yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 sudah berakhir September tahun lalu, tetapi sehingga kini pasangan hero dan heroin itu masih terus dikaitkan.

Ayda begitupun ternyata cukup profesional apabila tidak pernah melenting mahupun menunjukkan riak kurang selesa apabila soalan mengenai hubungan 'istimewa' mereka berulang kali ditanyakan pihak media.

"Bagi saya, tidak perlu menepis apa-apa pun kerana kami memang tiada hubungan.

"Saya akui cinta lokasi memang sering terjadi antara hero dan heroin, tetapi tidak kepada kami. Saya dan Zul memang kelihatan mesra, tetapi kami tetap tahu menjaga batasan," kata pelakon yang mula dikenali ketika menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan.


AYDA Jebat bersama peminat di Jelajah ABPBH di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Menyentuh hubungan antara dirinya dan Zul, pelakon yang kini dapat disaksikan menerusi drama Suami Sebelah Rumah menerusi TV3 itu menegaskan beliau bukan perampas.

"Bagi saya, tiada pun isu perampas kerana saya tidak pernah mengelak apabila terserempak dengan kekasihnya, Gayatri Su-Lin Pillai.

"Baru-baru ini, saya bertembung dengannya sewaktu Anugerah Meletop, tetapi kami sempat bertanya khabar. Antara kami tiada permusuhan.

"Saya dan Zul dikaitkan pun kerana impak drama itu. Kami tidak menyimpan perasaan antara satu sama lain. Saya bagaimanapun gembira juga apabila orang memperkatakan mengenai kami kerana ia petanda drama itu mencetuskan fenomena," kata Ayda.

Info Ayda Jebat

* Ayda menyertai program realiti Akademi Fantasia Musim Kesembilan (AF9) bersama adiknya, Fyna dan meninggalkan pengajiannya dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

* Ayda cedera teruk pada tahun 2012 apabila terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE kerana terlelap ketika memandu.

* Walaupun drama bersiri Rindu Awak 200 peratus adalah pengalaman pertama mereka bergandingan, Zul dan Ayda begitu serasi.

* Ayda nafi menjadi orang ketiga memutuskan percintaan orang lain, malah Zul juga menegaskan hubungan baik dia dan kekasihnya, Gayatri Su-Lin Pillai.

Berita Harian X