Jumaat, 6 March 2015 | 12:05am

Evolusi ceongsam

KEINDAHAN busana tradisional Cina terutama ceongsam mempunyai daya tarikan tersendiri.

Rekaan busana itu turut dikenali sebagai qipao menampilkan elemen warisan yang cukup bernilai, seharusnya dihargai. Antara keunikannya, potongan yang seksi dan melekat pada tubuh cukup memberikan gaya menawan.

Mula diperkenalkan sejak tahun 1900-an oleh masyarakat Manchu, kelahiran busana tradisional ini dianggap menggambarkan ciri-ciri personaliti wanitanya yang sopan, penuh kelembutan dan cantik.

Keindahan sulaman dan perincian membawa pelbagai pengertian simbolik turut menghimpunkan pelbagai kisah budaya perlu dihargai masyarakat moden masa kini.

Sungguhpun tidak lagi dipakai sebagai pakaian harian, bekas Pengarah Muzium Tekstil Negara, Janet Tee Siew Mooi, 60, berkata, cheongsam sebenarnya mempunyai keunikan daya tarikan buat wanita.

Katanya, ceongsam bermaksud `baju labuh' dalam dialek kantonis, pada asalnya tidak terlalu menyerlah rekaannya, namun pemakaiannya mula berubah seiring peredaran zaman.

"Ceongsam atau qipao mengalami transformasi ketara dalam soal pemilihan rona, material, bentuk potongan dan terutama kolar bajunya.

"Rekaan ceongsam menunjukkan ciri keindahan budaya masyarakat Cina," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Keindahan busana tradisi

Beliau masih menyimpan cheongsam pertama ketika berusia 18 tahun dan ia memberi nilai sentimen tersendiri.

Sehingga ini, beliau memiliki hampir 200 helai rekaan qipao dengan pelbagai rekaan bentuk.

"Potongannya yang mengikut bentuk tubuh membuatkan penampilan wanita tetap anggun dan seksi. Rekaan mewah dengan sulaman pada fabrik eksklusif menjadikan penampilan wanita lebih eksklusif.

"Malah, qipao kini sesuai di pakai ke pejabat, majlis atau musim perayaan," katanya kini merancang untuk menulis catatan mengenai revolusi persalinan itu.

Rekaan asal

Janet berkata, rekaan asal ceongsam kurang daya tarikan memandangkan potongannya yang besar dan labuh.

Katanya, pemilihan rona kusam dan kaku tanpa kemeriahan perincian menjadikan pemakaiannya praktikal dengan rutin masyarakat ketika itu.

"Pemakaian ceongsam ketika zaman pemerintahan Dinasti Ming lebih sesuai dengan rutin kehidupan masyarakat ketika itu yang menunggang kuda dan hidup pada musim sejuk.

"Rekaan ceongsam yang masih dikekalkan sehingga hari ini, adalah belahan di tepi baju, penggunaan butang Cina dan kolar baju," katanya sambil menunjukkan koleksi asal ceongsam miliknya dan dibeli ketika berkunjung ke China.

Tidak lagi konservatif

Janet yang menunjukkan minat mendalam terhadap busana tradisional itu, berkata perubahan rekaan ceongsam paling ketara berlaku selepas Perang Dunia Kedua.

Katanya, peredaran zaman membuka lembaran baharu apabila pemakaiannya tidak lagi terlalu konservatif dan rekaannya menyelitkan pengaruh Barat.

"Potongan ketat mengikut susuk tubuh dan belahan tepi menyerlahkan keanggunan wanita Cina. Belahan bergantung kepada rekaan baju itu sendiri. Lebih sendat potongan ceongsam, maka semakin tinggi belahan untuk memudahkan pergerakan," katanya.

Perubahan masa turut memperlihatkan busana itu boleh didapati dalam rekaan lengan pelbagai, panjang atau pendek, manakala material dan perincian cukup luas.

"Saya lihat pasaran ceongsam hari ini mengemukakan pelbagai rekaan ditambah dengan keunikan ciri-ciri tersendiri. Beberapa elemen asal rekaan masih diterapkan sebagai identiti masyarakat Cina seperti penggunaan butang sulam dan potongan kolar Mandarin.

"Ceongsam tidak lagi terikat dengan warna merah, malahan rona hitam kian digemari kerana penampilannya yang anggun. Himpunan rona oriental berani turut menjadi pilihan," katanya.

Fabrik dan motif

Katanya peredaran masa turut mengubah penggunaan fabrik sutera dan broked yang cukup mendapat sambutan suatu ketika dulu.

Kini ceongsam boleh dimiliki daripada koleksi kain kapas, baldu, renda dan pelbagai fabrik yang sesuai mengikut peredaran masa dan tujuan pemakaian.

"Pemilihan fabrik kapas sesuai untuk pemakaian rutin harian, manakala sutera pula digunakan untuk majlis perkahwinan kerana nilainya tinggi.

"Ceongsam dihasilkan daripada kain renda pula menambah keayuan wanita, sekali gus tampil lebih anggun dan mewah," katanya.

Menyentuh mengenai keindahan motif, katanya masyarakat Cina sememangnya sinonim dengan kepercayaan unsur alam seperti burung legenda keramat phoenix, naga, bunga teratai dan banyak lagi.

Memberikan lambang keabadian, kesejahteraan dan kesenangan, katanya, motif terhasil dari kehalusan sulaman dan perincian menjadikannya sangat indah.

"Rekaan busana tradisional ini mencerminkan keindahan seni tangan cukup halus dan padat. Ia menyampaikan penceritaan tersendiri.

"Pemilihan benang sulam berkualiti ditambah hiasan manik dan labuci, ceongsam mengangkat kedudukan dan keyakinan diri wanita Cina.

"Selain sulaman, hari ini mainan motif cetakan digital tidak kurangnya menawan perhatian," katanya.

INFO

* Ceongsam menjadi popular dalam kalangan keluarga diraja pada Dinasti Qing.

* Pada asalnya, potongan ceongsam diasaskan daripada pakaian lelaki dan longgar.

* Rekaan ceongsam, mula berubah sejak tahun 1920-an.

* Ceongsam dipakai wanita dulu tidak mempunyai banyak corak dan terhad.

* Ia boleh didapati daripada koleksi berlengan tiga suku, tidak berlengan, pendek mencecah lutut dan paras peha.

* Fabrik digunakan selalunya bersulam indah atau fabrik kosong, lembut dan mewah.

* Ceongsam biasanya didatangkan dalam satu atau lebih warna mengikut kesesuaian acara.

* Hari ini, pemakaian ceongsam jarang digunakan kecuali untuk memenuhi acara majlis istimewa.

Makna motif corak:

* Motif bunga peony - melambangkan kemakmuran dan kesejahteraan.

* Bunga teratai - lambang kecantikan.

* Naga - melambangkan kekuatan.

* Ikan - lambang keuntungan.

* Potongan lurus pada rekaan qipao ketika itu memberikan keselesaan untuk masyarakatnya bergerak menggunakan kuda.

* Sekitar abad ke 19, China mula terbuka untuk memberikan kebebasan terhadap wanita.

* Pengaruh barat di era kegemilangan Shang Hai memberikan perubahan dan cita rasa baru terhadap pemakaian qipao.

*Rekaan qipao mula berubah daripadalonggar ke ketat mengikut susuk tubuh menonjolkan keayuan wanita Cina.

* Koleksi qipao dari tahun 1960-an mempunyai jahitan zip di bahagian tepi baju untuk memudahkan pemakaiannya

* Pemakaian qipao turut dipelbagaikan mengikut kesesuaian majlis menerusi pilihan fabrik dan cetakan material.

Identiti qipao

* Potongan qipao selalunya sendat mengikut susuk tubuh wanita.

* Pemakaiannya dikatakan bukan saja menyerlahkan lagi imej wanita Cina tetapi menjaga kedudukan dan penampilan diri yang penuh yakin.

* Ia didakwa dapat mendidik wanita untuk mengekalkan bentuk tubuh kerana potongannya yang sendat.

* Perkara penting dalam rekaan qipao adalah susunan butang sulam dan potongan lehernya.

* Butang baju diperbuat dari fabrik sama membentuk pelbagai motif ikut kreativiti tukang jahit seperti ikan emas, bunga dan simpulan.

* Sulaman yang dijahit atas kain memberikan pelbagai simbolik terhadap kehidupan wanita.

* Qipao selalunya didatangkan dalam rekaan fabrik mewah seperti sutera, baldu dan renda mewah.

* Bagi pemakaian harian, koleksi qipao daripada kain kapas adalah pilihan selesa.

* Potongan lengan qipao adalah pelbagai termasuk berlengan pendek, tiga suku dan lengan mengikut keselesaan pemakaian.

* Belahan tepi kain juga bergantung pada panjang labuh qipao. Lebih panjang busana itu, maka potong belahan lebih tinggi untuk memudahkan pergerakan.

Berita Harian X