Khamis, 5 March 2015 | 8:48pm

Perang 8 tahun Hans Isaac, AC Mizal berakhir

DARI KIRI; AC Mizal, Awie, Afdlin Shauki dan Hans Isaac pada pelancaran teater Baik Punya Cilok di Istana Budaya. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Perang dingin antara pelakon Hans Isaac dan pengacara Datuk AC Mizal akhirnya menemui titik penamat apabila mereka berdamai, malah setuju sama-sama beraksi menjayakan teater Baik Punya Cilok (BPC) di Istana Budaya April ini.

Kemelut antara mereka berdua tercetus lapan tahun lalu ketika mereka bekerjasama untuk teater Cuci The Musical. Enggan menoleh ke belakang, Hans memilih untuk berdamai dan melupakan kisah lalu.

"Saya ada berbincang dengan Afdlin mengenai perkara ini untuk meminta pendapat serta nasihat. Saya tidak mahu lagi bermasam muka dengan sesiapa di sebarang majlis dan berhasrat untuk bertegur sapa dengan semua orang.

"Saya bersyukur kerana respons yang diberikan oleh AC dan Awie begitu positif sekali terhadap idea saya dan Afdlin. Namun tidak dinafikan bukan mudah untuk menggabungkan mereka ini untuk satu projek kerana jadual yang begitu padat," kata Hans ketika ditemui di sidang media teater itu di Istana Budaya hari ini.

AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini yang turut berada disamping Hans mengiyakan kata-kata pengarah dan penerbit itu. Malah dia juga berterima kasih kepada Hans kerana bermurah hati mengambil langkah awal untuk bekerjasama bersamanya.

"Semakin kita berusia, kita makin matang. Lupakan saja kisah lalu kerana saya sememangnya rindu untuk bekerja dengan mereka. Karakter kami di luar adalah sama seperti karakter kami ketika di atas pentas.

"Inilah masanya untuk kami berempat mengenang kembali memori lalu kerana jika ditangguhkan lagi maka kami akan lebih berusia pada ketika itu," kata AC sambil tergelak ketika ditemui pada majlis sama.

AC, Awie, Hans dan Afdlin Shauki bakal menghangatkan pentas berprestij Istana Budaya sempena ulang tahun ke-10 filem itu. Keputusan itu diambil berdasarkan undian peminat.

Teater itu akan dipentaskan dari 25 April hingga 1 Mei dan masih mengekalkan Afdlin selaku pengarah serta penulis skrip. Antara filem yang turut tercalon dalam undian adalah Pontianak vs Orang Minyak, Baik Punya Cilok, Lemak Kampung Santan, Papadom, Sumolah dan Buli.

Harga tiket bermula dari RM55, RM85, RM110, RM140, RM160 dan RM190.

Berita Harian X