Khamis, 5 March 2015 | 3:57pm

Mayat lelaki berkafankan cadar ditemui di Bukit Minyak

BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui berkafankan kain cadar di tepi kaki lima di Bukit Minyak di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor, berkata mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada jam 7.45 pagi tadi.

"Mayat tanpa pakaian itu dibalut dengan cadar bercorak jalur warna oren dan kuning dengan berikat di bahagian kaki, badan dan atas kepala seperti dikafankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiada dokumen pengenalan ditemui.

Rusli berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

EIY SN MK 05/03/2015 15-29ST

Berita Harian X