Khamis, 5 March 2015 | 2:31pm

Pellegrini beri Kompany amaran keras

Kapten pasukan, Vincent Kompany. - Foto Reuters

MANCHESTER: Manuel Pellegrini memberi amaran kepada kapten pasukan, Vincent Kompany bahawa statusnya dalam kesebelasan pasukan Manchester City belum terjamin selepas dia tersisih daripada barisan yang menewaskan Leicester di Stadium Etihad, pagi tadi.

Pemain pertahanan skuad Piala Dunia Belgium itu adalah pemain profil tinggi yang tercicir dalam perancangan Pellegrini selepas aib dengan kekalahan berharga kepada Barcelona dan Liverpool.

Prestasi hambar Kompany melihat dia kehilangan cengkaman dalam pasukannya yang merakamkan kemenangan menerusi jaringan lewat pada setiap babak permainan menerusi David Silva dan James Milner.

Pellegrini menegaskan pemain pertahanan itu tidak terjamin akan kembali untuk perlawanan berikut City menentang Burnley dalam tempoh 10 hari lagi.

"Ia sebab sama dengan Pablo Zabaleta, Vincent Kompany, Fernandinho, Samir Nasri, Edin Dzeko - adalah penting untuk menyegarkan semula pasukan selepas dua perlawanan sukar ketika kami mengharapkan keputusan baik," kata Pellegrini. "Ia satu saat yang bagus untuk melakukannya."

"Lazimnya apabila anda tidak mendapat keputusan diharapkan perlawanan berikut adalah sukar dan sebab itu penting pada hari ini untuk memenangi tiga mata. Adalah penting untuk mendominasi permainan dari awal dan tidak biar gawang dibocori."

Kemenangan ini membantu City berada lima mata di belakang pendahulu, Chelsea walaupun pasukan Jose Mourinho ada baki satu perlawanan dalam tangan.

"Saya tak fikirkan Chelsea," katanya. "Kami harus fikir mengenai pasukan dan menang perlawanan kami. Kita tidak boleh melakukan apa-apa yang Chelsea lakukan." - AFP

Berita Harian X