Rabu, 4 March 2015 | 9:42pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam menunjukan kad pengikrar derma organ bersama timbalanya Datuk Seri Dr. Helmi Yahaya dan Ketua Setiausaha, Datuk Farida Mohd Ali di kementerian Kesihatan, Putrajaya.

Tapak pembinaan biak aedes diarah tutup 2 minggu

PUTRAJAYA: Tapak-tapak pembinaan yang dikenal pasti menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes diarah tutup selama dua minggu mulai hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, tindakan tegas itu diambil susulan pelaksanaan 'Ops Gempur Tapak Binaan' di Lembah Klang sejak bulan lepas berikutan banyak tapak pembinaan 'bermasalah' dikesan menjadi sarang nyamuk aedes.

Sehingga kini, sebanyak 71 tapak pembinaan yang dikenal pasti sebagai tapak pembiakan nyamuk aedes telah diarahkan tutup selama tujuh hari.

"Kita tidak teragak-agak minta mereka tutup selama dua minggu. Penutupan (tapak pembinaan) selama dua minggu akan babitkan banyak wang. Adalah lebih murah untuk membuat pengabutan di seluruh kawasan bagi membunuh nyamuk," katanya dalam sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak pemaju dan kontraktor juga perlu mengemukakan bukti bahawa kerja-kerja pembersihan telah dilakukan sebelum dibenarkan membuka semula tapak pembinaan itu.

Bagi menangani ancaman denggi, Dr Subramaniam berkata, operasi sama akan dilakukan di kilang-kilang khususnya di kawasan yang mencatat peningkatan kes denggi walaupun ia tidak sebanyak kes di tapak pembinaan.

Ditanya mengenai tindakan terhadap tapak pembinaan yang terbiar, beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan kos akan dikenakan ke atas pemilik tanah berkenaan.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, seramai 19,353 orang rakyat Malaysia sedang menunggu untuk mendapatkan organ sehingga 31 Januari lepas, di mana seramai 19,329 orang daripadanya adalah pesakit buah pinggang.

Turut menunggu untuk mendapatkan organ ialah sembilan pesakit hati, pesakit paru-paru (tujuh), pesakit jantung (enam) dan pesakit jantung dan paru-paru (dua orang).

"Bilangan pengikrar penderma organ baharu meningkat setiap tahun. Pada 2006, hanya 10,081 pengikrar baharu yang mendaftar.

"Sehingga 31 Januari lepas, jumlah rakyat Malaysia yang berikrar untuk menderma organ selepas kematian adalah seramai 289,303 orang yang mewakili hanya 0.9 peratus dari jumlah keseluruhan rakyat Malaysia," katanya.

Dr Subramaniam berkata, beliau dan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan juga telah berikrar untuk menjadi penderma organ sempena dengan pelancaran 'Program KKM Jom Ikrar".

Program itu bertujuan memberi pendedahan asas mengenai derma organ kepada semua warga Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan derma organ. - BERNAMA

Berita Harian X