Rabu, 4 March 2015 | 8:19am

Sistem pentaksiran baharu STPM nyata berkesan

Peningkatan dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 memberikan petunjuk positif kepada keberkesanan sistem pentaksiran baharu peperiksaan itu yang dikendalikan buat kali kedua oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Keputusan STPM 2014 meningkat dalam semua kriteria pengukuran pencapaian calon membabitkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara, peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 2.00 hingga 3.49, peratusan calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran, peratusan lulus penuh dan penurunan peratusan calon gagal.

Seramai 42,854 calon menduduki STPM berasaskan sistem pentaksiran baharu itu tahun lalu yang membabitkan peperiksaan bertulis pada tiga penggal serta kerja kursus sepanjang satu tahun setengah tempoh pengajian.

Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata menerusi sistem itu pencapaian calon STPM akan terus meningkat dalam semua kriteria penilaian termasuk PNGK, peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, PNGK 3.50 ke atas dan PNGK 2.00 hingga 3.49.

"Peningkatan ini kerana berdasarkan sistem pentaksiran baharu ini, calon diuji pencapaian mengikut perkara yang dipelajari pada penggal berkenaan saja.

"Calon juga boleh memperbaiki pencapaian melalui peperiksaan ulangan setiap penggal. Kerja kursus juga membantu calon meningkatkan pemahaman mengenai perkara yang dipelajari, sekali gus menyumbang ke arah peningkatan pencapaian keseluruhan calon," katanya.

Secara keseluruhan, pencapaian calon STPM 2014 adalah lebih baik apabila PNGK negara meningkat 0.05 peratus daripada 2.57 bagi STPM 2013 kepada 2.62 bagi STPM 2014. Purata PNGK sekolah kerajaan juga meningkat 0.07 peratus daripada 2.55 pada 2013 kepada 2.62 pada STPM 2014.

Peratusan dapat PNGK 4.00 meningkat

Peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00 meningkat kepada 0.91 peratus, iaitu 390 calon berbanding 0.89 peratus (492 calon) pada 2013. Selain itu, peratus bilangan calon mendapat PNGK 3.50 ke atas juga meningkat 0.91 peratus kepada 9.09 berbanding 8.18 peratus pada tahun 2013, manakala bagi PNGK antara 2.00 hingga 3.49 meningkat 2.47 peratus kepada 73.85 peratus berbanding 71.38 peratus pada tahun 2013.

Namun, walaupun peratusan calon pada PNGK meningkat, bilangan calon mengikut PNGK bagi tahun 2014 berkurangan berbanding pada tahun 2013 disebabkan kemerosotan bilangan calon mendaftar.

Mohd Noh berkata, penurunan bilangan calon STPM 2014 berbanding tahun sebelumnya mungkin disebabkan ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih kursus kemahiran.

Keputusan STPM 2014 juga menyaksikan peningkatan bilangan pelajar yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat gred A dalam kelima-limanya berbanding STPM 2013 yang mana lapan calon sahaja memperoleh semua A.

Peningkatan prestasi calon dalam aspek kelulusan peringkat prinsipal turut meningkat 0.96 peratus kepada 97.81 peratus bagi STPM 2014 berbanding 96.85 peratus pada tahun 2013.

Calon yang mendapat lulus penuh dalam empat mata pelajaran juga lebih tinggi bagi STPM 2014 iaitu 63.8 peratus atau 27,342 calon yang juga menunjukkan peningkatan dalam peratus bilangan calon berbanding peperiksaan tahun sebelumnya.

Dalam hubungan ini, 23 mata pelajaran ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2014 mencatatkan peratus lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas berbanding 22 mata pelajaran pada STPM 2013.

Sepuluh mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding tahun sebelumnya, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Geografi, Ekonomi, Matematik Lanjutan, Kimia dan Information and Communications Technology.

Lapan mata pelajaran mencatatkan kenaikan melebihi tiga peratus dari segi peningkatan purata PNGK berbanding STPM 2013, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Arab, Syariah, Ekonomi, Matematik Lanjutan, Information and Communications Technology dan Sains Sukan.

Keputusan MUET meningkat

Prestasi 79,468 calon Malaysian University English Test (MUET) sesi November 2014 yang dikeluarkan pada 5 Januari lalu pula menyaksikan 68.82 peratus atau 54,691 calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 46.20 peratus atau 29,933 calon pada sesi Julai 2014.

STPM 2014 juga menyaksikan penurunan bilangan calon gagal, iaitu hanya 57 calon (0.13 peratus) berbanding 112 calon atau 0.20 peratus pada STPM 2013.

Berdasarkan pencapaian mengikut aliran pula, purata PNGK calon aliran sains adalah 2.65 mengatasi purata PNGK calon aliran sastera iaitu 2.61. Namun, purata PNGK aliran sastera meningkat 0.06 peratus daripada 2.55 pada 2013 kepada 2.61 pada 2014, manakala purata PNGK aliran sains menurun sedikit daripada 2.66 pada 2013 kepada 2.65 pada STPM 2014.

Terdapat jurang pencapaian antara calon lokasi bandar dan luar bandar yang mana purata PNGK bandar adalah 2.64 berbanding luar bandar 2.54. Bagaimanapun jurang perbezaan calon bandar dan luar bandar semakin mengecil iaitu daripada 0.11 dalam STPM 2013 kepada 0.10 bagi STPM 2014.

Berita Harian X