Selasa, 3 March 2015 | 11:08pm

Bas ekspres Pantai Timur tamat operasi di Hentian Greenwood

KUALA LUMPUR: Bas ekspres ke Pantai Timur akan menghentikan beroperasi dari Hentian Bas Greenwood di Batu Caves di sini mulai 9 Mac.

Menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), mulai tarikh itu bas berkenaan akan hanya beroperasi dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di Bandar Tasik Selatan.

"Bagi membantu penumpang semasa tempoh transisi ini, SPAD telah meminta perkhidmatan sambungan bas RapidKl U2 bagi membawa penumpang dari Greenwood ke stesen LRT Titiwangsa," menurut kenyataan itu lagi.

Perkhidmatan sambungan itu telahpun mula beroperasi sejak 1 Mac bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

Perkhidmatan sambungan itu melakukan lima perjalanan sehari mulai 6 pagi, 6.30 pagi, 6 petang, 6.30 petang dan 7 malam.

Menurut SPAD lagi penumpang dari Batu Caves, Taman Wahyu, Kampung Batu, Batu Kantonmen dan Sentul boleh menggunakan perkhidmatan komuter KTM (laluan Sentul-Pelabuhan Klang) untuk ke KL Sentral dan kemudian berpindah ke laluan Seremban-Rawang, yang akan membawa mereka ke TBS. - BERNAMA

Berita Harian X