Selasa, 3 March 2015 | 10:41pm

Belajar selang 30 minit tidak halang pelajar berjaya


Calon kurang upaya, Philip Ting Kin Tien, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong, Padawan, Kuching begitu gembira selepas meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014. - Foto BERNAMA

KUCHING: Walaupun terpaksa belajar selang tiga puluh minit setiap sesi, namun ia sama sekali tidak menghalang bagi pelajar kurang upaya, Philip Ting Kin Tien, 18, untuk meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Philip yang rabun teruk sejak dilahirkan, berkata keinginannya yang tinggi untuk belajar menjadi pendorong utama bagi memperoleh keputusan cemerlang meskipun sukar melihat.

"Saya hanya boleh mengulang kaji pelajaran dalam masa 30 minit saja dan akan berehat 15 minit sebelum meneruskan sesi ulang kaji seterusnya. Justeru, saya mengisi masa terluang dengan membaca memandangkan sesi ulangkaji yang terhad.

"Bagi saya, apa yang penting adalah memahami setiap mata pelajaran yang diambil kerana saya belajar bukan semata-mata untuk menduduki peperiksaan, tetapi memastikan ilmu yang diperolehi itu dapat dimanfaatkan sebaik saja melangkah ke dunia luar," katanya.

Beliau yang memperoleh 4A+, 3A dan 2A-  turut diumumkan sebagai antara pelajar terbaik SPM 2014 di negeri ini pada majlis yang berlangsung di Jabatan Pendidikan Sarawak, di sini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong, Padawan itu menyatakan beliau bertekad mahu meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik sebaik sahaja melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi pilihannya, iaitu Universiti Curtin di Miri dalam bidang asasi sains.

Sementara itu, pasangan kembar Nur Hasshima Ibrahim dan adiknya, Nur Syahmina Ibrahim, bukan saja berkongsi kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila masing-masing mendapat 5A dan seterus 8 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), malah mencipta sejarah tersendiri apabila memperoleh 9A1B dalam keputusan SPM.

Hasshima berkata, mereka ditempatkan dalam satu kelas dan sering mengulangkaji pelajaran bersama mengikut jadual harian yang ditetapkan.

"Kami memperuntukkan dua hingga tiga jam sehari untuk mengulangkaji. Kami bersyukur dengan keputusan cemerlang yang dicapai dan sama sekali tidak menjangkakan usaha gigih selama ini berbaloi." katanya yang juga pelajar SMK Rosli Dhoby, Sibu.

Berita Harian X