Selasa, 3 March 2015 | 10:25pm

Ibu sumber inspirasi terbesar - Pelajar

LEDANG: "Setiap kali mengulang kaji pelajaran, saya akan membayangkan ibu kerana beliaulah sumber inspirasi terbesar dalam hidup saya," kata Nurjazreena Zulkeli, 18, pelajar Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA) yang berjaya memperoleh keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, hari ini.

Nurjazreena berkata, ini kerana ibu banyak berkorban masa dan wang untuk membesarkan saya tiga beradik yang lain selepas kematian bapa akibat penyakit barah usus ketika beliau berusia enam tahun.

"Alhamdulillah, keputusan SPM ini adalah hadiah terbaik yang dapat saya berikan kepada ibu saya. Ibu sememangnya individu yang banyak memberi galakan kepada saya untuk terus berusaha dan belajar kerana hanya menerusi pelajaran sahaja yang mampu mengubah kehidupan kami.

"Selain itu, kejayaan saya pada hari ini juga adalah berkat daripada sokongan guru dan rakan yang banyak membantu sehingga mendapat keputusan yang tidak diduga ini kerana prestasi saya sebelum ini juga agak turun dan naik," katanya yang bercita-cita menjadi seorang akauntan.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Nurjazreena berkata, tiada ramuan istimewa untuk berjaya selain menumpukan perhatian kepada pengajaran guru dan sering mengulang kaji pelajaran khususnya pada masa terluang.

"Secara jujur, saya berasa agak beruntung kerana dapat belajar di sekolah berasrama penuh seperti SAMURA ini kerana kami bukan sahaja diberi bimbingan dalam akademik, sebaliknya pada masa sama dapat mendisiplinkan diri saya.

"Kehidupan di asrama juga turut membolehkan saya dapat mengulangkaji pelajaran dan berkongsi ilmu yang diperolehi bersama rakan, malah, jika tidak faham mengenai sesuatu perkara, saya akan terus bertanya kepada guru atau merujuknya kepada rakan yang lain," katanya.

Sementara itu, bagi Nur Hanna Abdullah, 18, berkata kematian bapanya akibat penyakit kencing manis pada Julai tahun lalu, sedikit sebanyak memberi rangsangan kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh dan  berusaha mendapatkan kejayaan cemerlang dalam SPM.

"Sebelum ini, arwah bapa saya iaitu Abdullah Darus banyak berpesan kepada saya untuk terus kuat belajar khususnya dalam mencapai kejayaan dalam SPM. Malah, setiap kali mengulang kaji pelajaran, saya akan menatap gambar bapa saya terlebih dahulu.

"Walaupun sedih kerana kehilangan bapa, namun saya tetap berasa gembira kerana keputusan saya mendapat 9A iaitu 1A+, 7A dan 1A-  ini sekurang-kurangnya dapat merealisasikan impian ayah walaupun beliau sudah tiada," katanya.

Nur Hanna berkata, beliau kini juga sedang mengikuti kursus bahasa Jepun di sebuah institusi di Kajang Selangor, berkata beliau berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada dirinya untuk berjaya dan seterusnya dapat membantu keluarga pada masa depan.

"Saya bukan orang senang dan perlu berusaha dengan lebih gigih. Sebelum mengikuti kursus bahasa Jepun ini, saya sempat bekerja sekejap di sebuah pasaraya di Seremban, Negeri Sembilan dan RM100 daripada gaji yang diterima ini, saya gunakan untuk tambang bas untuk ke SAMURA untuk mengambil keputusan SPM ini.

"Insyallah, saya akan belajar dengan lebih tekun lagi untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang jurutera dan sekali gus dapat membantu keluarga kelak," katanya yang berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal berasaskan petroleum di sebuah universiti di Jepun kelak.

Berita Harian X