Selasa, 3 March 2015 | 12:57pm

Program B10 mungkin diperluas ke sektor lain


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneroka kemungkinan Program B10 yang akan dilaksanakan di seluruh negara, diperluas kepada sektor lain seperti industri dan penjanaan tenaga.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata program itu melibatkan pengadunan 10 peratus metil ester sawit dengan 90 peratus bahana api fosil diesel.

"Pelaksanaan sepenuhnya Program B10 dalam jangka panjang akan menggunakan 1.2 juta tan minyak kelapa sawit setahun.

"Ia juga akan menyumbang kepada penggunaan sumber mesra alam dan berkekalan untuk tenaga," katanya dalam ucapan pada Persidangan Minyak Sawit dan Laurik 2015 di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Himmat Singh.

Uggah berkata, Malaysia akan terus melaksanakan langkah-langkah meningkatkan penggunaan minyak sawit di peringkat domestik selain mengurangkan stok.

Katanya, kerajaan melaksanakan program biobahan api sejak 2011, bermula dengan B5.

"Sejak itu, kita meningkatkan program itu kepada B7, yang telah dilaksanakan secara menyeluruh di Semenanjung Malaysia sejak November 2014.

"Pada masa ini kami sedang meneroka kemungkinan melaksanakan program B10 di seluruh negara, katanya.

Persidangan tiga hari yang bermula semalam anjuran Bursa Malaysia, bertema 'Dagangan, Lindung Nilai dan Mendahului Pasaran'.

- BERNAMA

Berita Harian X