Isnin, 2 March 2015 | 10:21pm
TIGA pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2014 yang memperolehi keputusan 4A dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00. Dari kanan, Khamisah Ismail, M Kabilan dan Ong Li Chean menunjukkan sijil penganugerahan kecemerlangan masing-masing dalam satu majlis khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih.- Foto BERNAMA

Kegigihan bantu ibu jual nasi lemak berbaloi

KUANTAN: Kegigihan anak peniaga nasi lemak berulang alik sejauh 60 kilometer dengan van dari rumahnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Shah, Rompin berbaloi selepas memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan keputusan A bagi semua subjek yang diambil.

Khamisah Ismail, 20, hampir setahun berulang-alik dengan van untuk ke sekolah kerana mahu membantu ibunya, Rosidah Dasman, 43, yang berniaga nasi lemak berhampiran rumahnya di Ladang Rompin, Muadzam Shah.

Beliau berkata,  ibunya berniaga bagi mendapatkan sumber pendapatan selepas bapanya, Ismail Johari, 56, yang bekerja di ladang berkenaan meninggal dunia pada 2008.

"Setiap hari saya bangun jam 5 pagi dan van sekolah mengambil saya pada jam 6.30 pagi untuk ke sekolah dan sampai rumah semula lepas sekolah jam 3.30 petang kemudian membantu ibu menyediakan bahan nasi lemak termasuk sambal bilis.

"Perjalanan pergi atau balik dari sekolah memakan masa hampir satu jam tetapi saya tidak merasa terbeban kerana sedar perlu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu mengubah nasib keluarga," katanya, selepas menerima anugerah pelajar cemerlang itu daripada Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail di SMK Air Putih di sini, hari ini.

Khamisah yang bercita-cita menjadi akauntan berkata, dia tinggal di asrama sekolah sebelum ini tetapi mengambil keputusan untuk kembali tinggal di rumah untuk menemani ibu dan dua adiknya yang berusia 17 dan 13 tahun.

"Pada hujung minggu atau cuti sekolah, saya boleh membantu ibu berniaga nasi lemak. Sebelum ini, ibu berniaga sehingga jam 7 petang tetapi kini sehingga jam 1 petang kerana masalah kesihatan," katanya.  

Ditanya rahsia kejayaannya, Khamisah berkata, beliau tidak pernah mengamalkan sebarang petua atau pemakanan tertentu, sebaliknya percaya kepada motivasi berterusan daripada guru sekolah yang sentiasa menggalakkan pelajar berfikir secara kritis.

"Saya makan semua jenis makanan... saya tengok semua jenis program televisyen. Tidak ada pantang larang, cuma saya mengulangkaji pelajaran pada jam 11 malam sebelum tidur," katanya anak sulung daripada tiga beradik.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang STPM 2014 dari SMK Ketari, Bentong, M Kabilan, 20, berkata, sikap tidak pernah berputus asa menjadi kunci kejayaannya sehingga mencatat keputusan cemerlang pada peperiksaan itu.

Berita Harian X