Isnin, 2 March 2015 | 9:24am

Contohi Jerman tangani soal sampah

Secara mandatorinya penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah mesti mengasingkan sampah dari rumah mereka seperti kertas, kaca, plastik mulai September ini.

Semua negeri ini menerima Akta 672 atau Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam sejak tahun 2011 yang memberi kuasa eksekutif kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) untuk mengambil alih pengurusan sampah dari rumah dan pembersihan awam daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dengan kata lain, sampah yang kita hasilkan di rumah sejak tahun 2011 tidak lagi diuruskan oleh PBT. Adakah penduduk Malaysia sudah bersedia untuk melaksanakannya, sedangkan tempoh 'mendidik' mereka di bawah PPSPPA agak singkat iaitu hanya empat tahun. Selain itu, adakah kita sudah bersedia dengan prasarana untuk memastikan kempen mengasingkan sisa pepejal ini berjaya dan disambut baik oleh pengguna?

Peraturan baharu

Pelaksanaan peraturan baharu itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan yang ketika ini semakin meruncing dan membantu meningkatkan aktiviti 3R (Reduce, Reuse, Recycle) serta kitar semula.

Dalam menyenaraikan diri menjadi negara maju, Malaysia mesti mempunyai pelbagai strategi dan tindakan komprehensif mendepani masalah sampah yang boleh memberi gambaran tidak enak dalam memupuk minda kelas pertama dan budaya sivik yang cemerlang.

Dari segi ekonomi, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM1.4 bilion bagi kos perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pada tahun lalu, yang mana secara purata 2.3 juta tan bahan buangan dibawa ke tapak pelupusan dengan nilai mencecah RM900 juta setahun.

Jerman berjaya mengurangkan pengeluaran sampah. Namun, kejayaan besar itu ditempa selepas 25 tahun program pengurangan sampah dibuat. Kini, masalah pengeluaran 30 juta tan sampah setahun di negara itu dapat diatasi yang mana lebih 80 peratus bahan buangan berkenaan dikitar semula iaitu kertas di tong biru; kaca di tong kuning dan sisa organik di tong hijau.

Tong kitar semula

Adakah pihak berkuasa kita sudah menyediakan secukupnya tong berkenaan di seluruh negeri yang tertakluk dengan Akta 672? Bagaimana pula inisiatif yang dibuat oleh pengeluar atau pengilang untuk mengurangkan penggunaan kertas, kaca, plastik mahupun aluminium?

Kalau di Jerman, pihak berkuasa memperkenalkan sistem 'green dot' atau sistem titik hijau yang mana pengeluar atau pengilang, mahupun penjual perlu membayar yuran atau cukai 'green dot' terhadap setiap produk yang dikeluarkan atau dijual. Sistem bijak ini berjaya mengurangkan penggunaan kertas, kaca atau plastik dan secara langsung kuranglah sampah yang perlu dikitar semula. Hasilnya, sampah dapat dikurangkan sebanyak sejuta tan setiap tahun.

Sebaiknya juga kerajaan meniru langkah kerajaan Jerman yang mewajibkan syarikat dan industri untuk mengasing dan mengitar semula sekurang-kurangnya 80 peratus daripada barangan yang dikeluarkan mereka. Kalau syarikat pengeluar minuman kotak, mereka diwajibkan mengitar semula kotak minuman yang sudah digunakan.

Begitu juga pengeluar makanan dan minuman dalam tin. Penguatkuasaan seharusnya membabitkan pelbagai pihak, bukan hanya menumpukan kepada isi rumah kerana pihak industri juga bertanggungjawab sama.

Berita Harian X