Jumaat, 27 Februari 2015 | 7:33pm

Ibrahim Ali tidak berhasrat tanding PRK DUN Chempaka


KUALA LUMPUR 14 December 2014. Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berucap ucapan aluan ketika Persidangan Agung Tahunan ke 5, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia 2014 di Balai Islam, Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KOTA BHARU: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali tidak berhasrat bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, 22 Mac ini.

Ibrahim berkata, ini kerana beliau tidak berupaya dari segi kewangan dan tidak mempunyai jentera pilihan raya kerana tidak menjadi anggota mana-mana parti.

"Saya tidak mempunyai penyokong di kawasan DUN Chempaka kerana ia bukan tempat saya, tempat saya di Pasir Mas. Kalau di Pasir Mas berlaku kekosongan sudah tentu saya bertanding," kata Ibrahim, 64, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ibrahim berkata demikian kepada pemberita hari ini ketika ditanya khabar angin beliau akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Chempaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK DUN Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon ialah pada 10 Mac.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, menang dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.

- BERNAMA

43 dibaca
Berita Harian X