Jumaat, 27 Februari 2015 | 6:47pm
KUALA LUMPUR 08 AUGUST 2014. Reaksi pelabur setelah Khazanah Nasional menyah senarai saham Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) di ruang dagangan RHB Bank. NSTP/Surianie Mohd Hanif

Saham KL ditutup tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.34 mata untuk mengakhiri sesi dagangan pada 1,821.21.

TNB adalah penyumbang utama kepada kenaikan indeks utama yang dicatat sejam sebelum sesi ditutup, menokok 22 sen kepada RM14.72 dengan 46.04 juta saham bertukar tangan.

Turut menyokong FBM KLCI ialah CIMB Group yang meraih 12 sen kepada RM5.95, Petronas Dagangan melonjak 92 sen kepada RM19.58, dan IHH Healthcare naik sembilan sen pada RM5.57.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan melantun semula disebabkan peningkatan selera risiko dan seiring dengan prestasi semalaman meyakinkan Wall Street selepas Rizab Persekutuan menyatakan penangguhan kenaikan kadar faedah namun dengan beberapa kelonggaran terhadap persekitaran ekonomi.

Secara keseluruhannya kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 484 berbanding 367 dengan 302 kaunter tidak berubah, 614 tidak diniagakan dan 33 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.21 bilion saham bernilai RM2.73 bilion daripada 1.88 bilion saham bernilai RM2.03 bilion pada Khamis. Pada papan skor lain Indeks FBM Emas melonjak 3.08 mata kepada 12,557.38, Indeks FBMT100 meraih 8.23 mata kepada 12,233.95, manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 16.85 mata pada 13,120.63. FBM 70 melonjak 32.23 mata kepada 13,606.27, namun FBM ACE merosot 34.47 mata kepada 6,634.74.

Dalam kalangan kaunter cergas, Nexgram bertambah 1.5 sen kepada 10.5 sen, Wintoni naik setengah sen kepada 20 sen, Hubline susut setengah sen pada 2.5 sen, Diversified Gateway jatuh satu sen kepada 13 sen dan Eti Tech meraih satu sen kepada 8.5 sen. Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.30 bilion unit bernilai RM2.57 bilion daripada 1.12 bilion unit bernilai RM1.88 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 800.53 juta saham dengan nilai RM137.53 juta daripada 688.97 juta saham bernilai RM135.32 juta sebelum ini.

Waran meningkat kepada 109.60 juta unit bernilai RM17.47 juta daripada 66.38 juta bernilai RM13.42 juta semalam. Produk pengguna meliputi 142.13 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perusahaan (143.97 juta), pembinaan (94.18 juta), perdagangan dan perkhidmatan (557.58 juta), teknologi (140.24 juta), infrastruktur (18.49 juta), SPAC (15.36 juta), kewangan (52.56 juta), hotel (3.08 juta), hartanah (94.29 juta), perladangan (30.21 juta), perlombongan (40,000), REITs (7.79 juta) dan tertutup/dana (10,000). - BERNAMA

Berita Harian X