Khamis, 26 Februari 2015 | 5:03pm
PERSEMBAHAN protege Sarah atau nama sebenarnya Maishara Fazny Mahadzir bersama Mentor, Amy Search pada Konsert Akhir Mentor Legend di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam 22 Februari lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Konsert akhir Mentor Legend raih lebih 4.8 juta penonton

KUALA LUMPUR: Pertandingan Mentor Legend di TV3 melabuhkan tirai terakhirnya dengan mengekalkan statusnya sebagai program realiti nombor satu di negara dengan 4.8 juta penonton. Malah lebih manis, ada berita murni dikongsi.

Di samping mengekalkan status itu, pihak produksi Mentor Legend mengumumkan bahawa hasil jualan tiket yang berharga RM20 sekeping itu akan disumbangkan ke Tabung Bersamamu, TV3.

Hasil kutipan ini juga termasuk dengan sejumlah dana ikhlas dari penonton Mentor Legend.

Pihak produksi program ini mengumumkan bahawa penonton setia Mentor Legend menyumbangkan dana yang berjumlah RM10,390.

Lebih membanggakan juga apabila program realiti ini Malaysia ini berjaya mendominasi hampir 36 peratus penonton (market share) mengatasi pelbagai program menarik di stesen televisyen lain yang juga bersiaran pada masa dan waktu yang sama.

Selama Mentor Legend bersiaran, Nielsen Audience Measurement mengesahkan bahawa jumlah penonton ketika itu mencecah lebih 4.8 juta penonton.

Sememangnya Mentor Legend ini merupakan sebuah program realiti yang sentiasa dinantikan ramai.

Bukan sahaja di kaca televisyen, konsert mingguan Mentor Legend juga dipancarkan menerusi laman portal video rasmi (www.tonton.com.my) di mana penonton disajikan dengan siaran ulangan setiap konsert mingguan Mentor Legend.

Statistik di arena atas talian (online) mencatatkan sebanyak 6.4 juta pengguna laman sosial yang menggunakan #MentorLegend pada malam itu.

Dengan pencapaian itu, Mentor Legend telah menjadi ikutan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.

Pencinta Mentor Legend boleh melihat kesemua komen dan gambar yang dimuat naik dengan #MentorLegend di Twitter, Instagram, dan Facebook.

Manakala jumlah tontonan (views) di Tonton (www.tonton.com.my) buat masa ini telah mencapai 22,617 tontonan dan dijangka meningkat hari demi hari.

Selain itu, sehingga hari ini, jumlah kunjungan laman Mentor Legend mencecah 78,234. Pertandingan itu menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasangan mentor dan protege Dayang Nurfaizah dan Azmil.

Dijulang sebagai Juara Mentor Legend, kedua-dua mereka berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM300,000 dan trofi dari penganjur, dua buah Proton Iriz 1.6 Premium CVT daripada Proton, dan juga baucer beli-belah, Zalora bernilai RM10,000 untuk Azmil.

Tempat kedua dimiliki oleh pasangan mentor dan protege Ella dan Aina yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM200,000 berserta trofi dari pihak penganjur. Manakala tempat ketiga jatuh kepada pasangan mentor dan protege Amy Search dan Sarah yang berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000 serta trofi dari pihak penganjur.

Turut mencuri tumpuan malam itu ialah penampilan khas juri jemputan yang diterbangkan khas dari Indonesia, Cakra Khan.

Beliau telah membuat persembahan istimewa dengan lagu medley Setelah Kau Tiada & Harus Terpisah pada penghujung rancangan.

Berita Harian X