Khamis, 26 Februari 2015 | 4:27pm
AZZARIMA Zawari atau lebih mesra dikenali dengan nama Azza Elite. - Foto NSTP

Soal anak, Azza lihat Lisa Surihani dan Yusry sebagai idola

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Azzarima Zawari atau lebih mesra dikenali dengan nama Azza Elite antara selebriti yang rancak berniaga bagi menambah pendapatan.

Azza kini menjual busana muslimah dan bedak sejuk, Azza's Cold Powder di Busana Mall, Jalan Tunku Abdul Rahman,

Ini sudah tahun kedua dia berniaga. Menjalankan perniagaan itu biasalah ada fasa turun dan naik, tetapi Azza melihat itu semua sebagai ruang untuk menambah pengalaman dan mencabar diri ke peringkat seterusnya.

"Apa yang penting kita kena rajin usaha. Produk bedak sejuk saya memang mendapat perhatian ramai kerana harganya murah dan mampu dimiliki. Tak ada masalah untuk rakyat Malaysia membelinya. Malah di Brunei dan Singapura pun ada wakil penjualnya.

"Malah kini saya juga sudah mengeluarkan rekaan jubah baru berkolaborasi dengan Ruff Raffael. Suami saya pun ada berjinak-jinak mereka jubah. Ia perlahan demi perlahan mula mendapat tempat di hati penggemar jubah.

"Saya berniaga ini pun berbekalkan modal dari duit simpanan hasil duit berlakon dan menyanyi serba sedikit. Duit terkumpul saya mula beli baju untuk dijual. Saya pun tak pinjam wang dari bank atau mana pihak untuk berniaga," katanya yang sudah tidak lagi berbelanja membeli barang berjenama dan bergaya ikut kemampuan sahaja.

Perkahwinan Azza dengan suami, Azlan Zulaily hingga kini juga masih belum beroleh zuriat sendiri.

Bukan tidak pernah berusaha, malah turut diuji dengan keguguran beberapa kali. Namun Azza tak pernah putus berharap dan berusaha.

"Soal anak memang tak jadi tekanan. Siapa yang kahwin tak mahu ada zuriat sendiri. Kalau dulu saya sedih bila persoalan ini diajukan tapi sekarang saya sudah mula terbiasa. Saya lihat Lisa Surihani dan Yusry sebagai idola.

"Lihat saja kesabaran mereka selepas tiga tahun akhirnya dikhabarkan berita gembira mengenai kehamilan Lisa. Lisa mengandung beri semangat kepada saya," katanya.

Berita Harian X