Rabu, 25 Februari 2015 | 4:14pm

Sasha Saidin berangan macam Elsa Frozen?

KUALA LUMPUR: Impak watak Elsa di dalam animasi Frozen cukup hebat di kalangan kanak-kanak.

Penangan karakter berambut perang dan memakai gaun biru itu sangat mengesankan hingga ada yang sanggup jadi sepertinya.

Pelakon Sasha Saidin yang juga kakak kepada Zain Saidin sendiri juga secara kebetulan berambut perang seakan Elsa. Malah wajah campuran Melayu dan Inggeris beliau sendiri sudah hampir menyamai karakter popular itu.

Lalu benarkah Sasha sekarang sudah berangan seperti Elsa. Ibu tunggal kepada Adam Aryasenna Notosoemarsono (Arya) hanya mampu tergelak manja saat perkara berkenaan diajukan kepadanya.

"Tiada niat pun saya nak samakan diri ini dengan Elsa itu. Saya warnakan rambut perang ini pun kerana tuntutan watak. Asalnya juga saya mahu warnakan rambut perang ini kepada warna rambut asal.

"Tetapi lain pula jadinya apabila rambut perang itu membuka pintu rezeki saya untuk kerja peragaan. Jadi saya putuskan untuk kekalkan saja warna rambut perang itu sejak lapan bulan lalu.

"Memang ada peminat yang samakan saya seperti Elsa. Saya tak kisah apa tanggapan orang. Ikutkan karakter Elsa bukan kegemaran saya dalam kartun animasi. Saya ada menonton cerita Elsa. Malah ada yang mahu saya buat parodi memakai gaun biru tetapi saya berseloroh kalau nak buat kena dilakukan di tempat ada salji," katanya.

Terlanjur bertemu Sasha pada sambutan hari lahir Zain yang ke-31 baru-baru ini, Sasha turut ditanya mengenai sisi peribadinya. Selepas dua kali mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak, apakah Sasha masih belum terbuka hati mencari pengganti.

Sebelum ini pernah bertebaran cerita Sasha dikaitkan dengan penyanyi Awi Rafael. Bagaimanapun cerita itu berlalu begitu saja.

"Saya lebih fikir mengenai anak dan kerja saat ini berbanding soal pengganti. Sebagai ibu tunggal yang berdikari, saya perlu kuat meneruskan hidup. Malah di laman Instagram pun saya akan taip hashtag #diaryofasingleworkingmum.

"Malah kalau saya tak muat naik gambar, ada pengikut yang mula bertanyakan. Semasa saya menjalani penggambaran drama di Uzbekistan dan tak ada kemudahan akses internet, ramai yang tertunggu-tunggu gambar saya.

"Tapi saya bersemangat kerana ada mereka di luar sana yang tak segan memberi semangat untuk saya kuat bekerja. Bukan mudah jadi ibu tunggal. Tapi mahu atau tidak, saya kena laluinya. Sayalah ibu dan bapa kepada anak," katanya yang sudah masuk tiga tahun bergelar ibu tunggal.

Menurut Sasha, beliau tidak berdepan masalah dengan bekas suami (Salyo Priyanto) mahupun soal penjagaan anak. Anak kini dijaganya kerana Salyo sudah pulang ke Jakarta selepas perceraian mereka.

"Anak dan bekas suami saya juga kerap berhubung menerusi aplikasi Skype. Adalah dalam sekali atau dua kali seminggu mereka berhubung. Jadi hubungan mereka itu sentiasa berterusan. Anak saya pun tak adalah sampai mengamuk nak jumpa papanya.

"Sebagai ibu saya cuba memberikan yang terbaik untuk anak. Ibu saya sendiri menjadi penyokong kuat di belakang. Kalau saya bekerja, dialah yang tengokkan anak. Dengan rezeki yang saya ada, dapatlah membayar bil, membeli mainan dan bercuti sesekali sekala dengan anak," katanya.

35 dibaca
Berita Harian X