Selasa, 24 Februari 2015 | 11:50am

Mayat remaja ditemui tertanam di Hutan Simpan Pedu


UNIT Forensik IPK Kedah melakukan penggalian untuk mengeluarkan mayat yang di temui di Charuk Temingat, Padang Terap hari ini. - Foto Shahrizal Md Nor

PADANG TERAP: Sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari madu menemui mayat seorang remaja tertanam sedalam kira-kira dua meter di di pinggir kawasan Hutan Simpan Pedu bersebelahan jalan Durian Burung, dalam kawasan Charuk Temingat dekat sini, malam tadi.

Mayat yang ditemui pada kira-kira jam 7 malam itu tertanam dalam keadaan mengereng dipercayai seorang wanita yang mungkin berkaitan dengan kes kehilangan dua wanita di daerah ini dan Sik sejak sebulan lalu.

Seorang saksi yang enggan dikenali, berkata seorang lelaki yang juga bapa saudara salah seorang remaja yang dilaporkan hilang itu menemuinya meminta pertolongan untuk menggali kawasan tempat mayat itu ditemui dengan kawalan beberapa anggota polis.

Beliau berkata, sebaik sampai di kawasan itu dia mendapati beberapa orang kampung sudah berada di kawasan itu bersama anggota polis sedang melakukan penggalian.

Katanya, mereka kemudian meneruskan penggalian hingga ternampak tangan manusia sebelum memberhentikannya untuk tindakan lanjut pihak polis.

Katanya, berdasarkan pengalamannya dia percaya mayat itu masih baru dan sudah beberapa hari ditanam di kawasan terbabit.

"Saya diberitahu kemungkinan besar mayat yang ditemui itu adalah anak saudara kepada salah seorang lelaki yang turut membantu menggali di lokasi berkenaan.

"Kami hanya menggali sampai nampak lengan dan Bahagian lutut kiri mangsa," katanya ketika ditemui di sini, awal pagi tadi.

Dalam pada itu, tinjauan di kawasan berkenaan mendapati beberapa anggota mengawasi lokasi berkenaan sejak malam kelmarin sementara menunggu Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba.

Bagaimanapun sehingga jam 11.30 pagi ini mayat mangsa belum dibawa keluar dari lokasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner, Mohd Nashir Ya, ketika ditemui pagi ini berkata, polis mendapat laporan pada kira-kira jam 7 petang semalam namun perlu menunggu unit forensik untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, beberapa penduduk kampung yang sedang mencari madu menemui satu kawasan seperti baru digali dan ditutup dengan ranting kayu.

"Lelaki itu curiga bila ternampak seolah kawasan itu baru digali dan terus melaporkannya kepada pihak polis.

"Kita tidak dapat menentukan identiti mangsa setakat ini kerana belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.

"Bagaimanapun berdasarkan maklumat awal kita percaya mangsa adalah seorang perempuan, katanya.

40 dibaca
Berita Harian X