Isnin, 23 Februari 2015 | 6:43pm

Piala AFC: JDT buru 3 mata temu East Bengal esok


WAKIL pemain JDT, Jasazrin Jamaludin bersalaman dengan Ketua Pasukan East Bengal FC, Gurvinder Singh (dua dari kanan) pada sidang media pra perlawanan saingan kumpulan F Piala AFC di Hotel Puteri Pacific Johor Bahru di sini hari ini. Turut kelihatan Ketua Jurulatih JDT, Bojan Hodak dan Ketua Jurulatih East Bengal FC, Eelco Schattorice. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) tekad meraih tiga mata penuh berdepan East Bengal pada aksi pembuka tirai Piala AFC 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, malam esok.

Jurulatih pasukan, Bojan Hodak berkata kelebihan beraksi di laman sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membenam cabaran pasukan pelawat itu yang mendapat khidmat jurulatih baharu pada 17 Februari lalu.

"Kami memburu tiga mata penuh namun sesuatu itu bakal berubah kerana East Bengal baru mendapat jurulatih baharu dan ini mungkin menjadi suntikan semangat kepada pemain mereka.

"...dan saya merasakan perlu membuat sedikit perubahan dari segi strategi kerana saya tidak tahu langsung corak permainan mereka," katanya pada sidang media pra perlawanan berkenaan, di sini hari ini.

Skuad Harimau Selatan itu diundi dalam Kumpulan F pada saingan Piala AFC 2015, bersama-sama Kitchee FC dari Hong Kong, East Bengal (India) dan Balestier Khalsa dari Singapura.

Sementara itu, satu lagi wakil negara dalam saingan kejohanan tersebut, Pahang berdepan cabaran tiga pasukan lain dalam Kumpulan G iaitu Global FC dari Filipina, Yadanarbon (Myanmar) serta wakil Hong Kong, South China.

Bagi memastikan misi meraih tiga mata penuh mampu direalisasikan, Hodak turut membayangkan untuk menyenaraikan penyerang kebangsaan Safee Sali dalam kesebelasan utama, malam esok.

"Saya mungkin melihat terhadap perkara tersebut (menyenarai Safee) kerana prestasinya semakin baik semasa latihan. Namun, saya akan membuat kata putus selepas sesi latihan hari ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih East Bengal, Eelco Schattorie berkata walaupun masih baharu bersama pasukan berkenaan, beliau sudah mengetahui serba sedikit prestasi anak buahnya itu.

"Saya melihat beberapa rakaman video mengenai pasukan ini, dan kami sudah bersedia untuk perlawanan esok," kata Schattorie yang sebelum ini bersama pasukan United Club di India, bagi menggantikan Armando Colaco yang menamatkan kontrak bersama East Bengal atas faktor kesihatan. - BERNAMA

Berita Harian X