Ahad, 22 Februari 2015 | 5:44pm

PRK Chempaka: Senarai calon PAS dikeluarkan seminggu lagi - MB

KOTA BHARU: PAS Kelantan dijangka mengeluarkan senarai pendek calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dalam tempoh seminggu lagi.

"Sekarang ini, kita dalam proses menerima nama calon itu. Insya-Allah seminggu lagi akan dapatlah namanya," kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata parti itu tidak boleh meletakkan calon sembarangan untuk bertanding kerusi DUN itu kerana ia merupakan kawasan bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

PRK Chempaka diadakan berikutan kematian Nik Abdul Aziz, yang juga bekas menteri besar negeri ini, pada 12 Feb lepas akibat kanser prostat. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Nik Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional, Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh PRK DUN Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon pada 10 Mac.

Pengundian awal pula diadakan pada 18 Mac. - BERNAMA

Berita Harian X