Ahad, 22 Februari 2015 | 9:36am

Malaga leburkan rekod kemenangan Barcelona


PENYERANG Malaga, Juanmi Jimenez meraikan jaringan pada perlawanan menentang Barcelona di Camp Nou awal pagi tadi. - Foto EPA

BARCELONA: Malaga mengejutkan Barcelona dengan 1-0 pada perlawanan di Camp Nou awal pagi tadi sekali gus menamatkan pencapaian 11 kemenangan berturut-turut dan mengelak tuan rumah untuk mendahului Liga Sepanyol buat seketika.

Malaga menyumbat gol awal dan kemudiannya bertahan selepas Juanmi Jimenez menghukum kesilapan Dani Alves di bahagian pertahanan dan menewaskan penjaga gawang, Caludio Bravo seawal minit ketujuh.

Anak buah Javi Gracia itu pernah mengikat Barcelona dengan 0-0 pada pertemuan pertama awal musim ini dan pelawat sekali lagi beraksi cemerlang untuk mengejutkan kelab yang dibarisi pemain handalan termasuk Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez bagi meraih kemenangan pertama di Barcelona sejak musim 1999-2000.

Sehubungan itu, Real Madrid bertandang ke Elche hari ini bagi melebarkan kelebihan satu mata di takhta liga.

"Sejak dari permulaan kami dapat lihat perlawanan ini memang sengit. Dalam babak pertama, kami bermain dengan baik pada babak pertama tapi kami hilang cengkaman pada babak kedua," kata jurulatih Barcelona, Luis Enrique.

"Ditambah pula, hari ini bukan hari terbaik buat kami berdasarkan prestasi individu. Keputusan ini memang tamparan hebat buat kami," katanya.


LIONEL Messi (tengah) mengawal bola sambil cuba dihalang pemain Malaga pada aksi di Camp Nou awal pagi tadi. - Foto AP

Atletico Madrid dan Valencia pula memanfaatkan kegagalan Barcelona untuk menang bagi menjadikan saingan merebut empat teratas lebih sengit.

Antoine Griezmann menjaringkan gol ke-13 dan ke-14 dalam liga untuk memastikan Atletico menang mudah 3-0 ke atas Almeria di tempat sendiri dan membolehkan juara bertahan itu menjarakkan diri tiga mata dengan Barcelona.

Valencia pula menang 2-1 ketika berdepan kelab tercorot, Cordoba untuk kekal di tangga keempat, tiga mata di belakang Atletico.

Sementara itu, Celta Vigo turut mencatat kemenangan 2-0 di Deportivo La Coruna bagi melonjakkan diri ke tempat kelapan liga. - AP

Berita Harian X