Sabtu, 21 Februari 2015 | 12:16pm
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Sabri Roslan (dua dari kanan) menyiasat punca kebakaran rumah di Taman Jimah Jaya dekat sini, yang terbakar awal hari ini. - Foto Rozainah Abdul Rahim

Rumah terbakar: Tujuh sekeluarga sempat selamatkan diri

PORT DICKSON: Tujuh anggota sebuah keluarga sempat menyelamatkan diri apabila rumah yang didiami mereka di Jalan Melor 10, Taman Jimah Jaya dekat sini, terbakar awal hari ini.

Pegawai Kanan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, S. Maniam berkata, kebakaran berlaku pada pukul 5.43 pagi ketika anggota keluarga itu sedang tidur.

Beliau berkata, seorang daripada mereka terjaga apabila terhidu bau hangit dan keadaan menjadi panas lalu mengejutkan anggota keluarga yang lain untuk menyelamatkan diri sebelum api marak melalui pintu hadapan.

Sembilan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan mereka turut dibantu lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang bersama sebuah jentera.

"Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya satu jam kemudian. Bagaimanapun, kebakaran tersebut menyebabkan rumah teres satu tingkat itu musnah terbakar seratus peratus," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Berita Harian X