Jumaat, 20 Februari 2015 | 6:43pm

Ejen pelancongan akur saranan tidak lawat ladang unta

KUALA LUMPUR: Saranan Kementerian Kesihatan untuk jemaah tidak melakukan lawatan ke ladang unta sudah dilaksanakan oleh ejen pelancongan tempatan yang menawarkan pakej umrah sejak tahun lepas.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Hamzah Rahmat berkata pihaknya akur dengan nasihat itu bagi mengelakkan jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) ke atas jemaah yang dibawa.

"Kebiasaannya ejen pelancongan hanya lalu dan tidak berhenti di ladang unta, namun jika jemaah ingin melihat ladang itu mereka hanya boleh melakukannya dari dalam bas sahaja.

"Kebiasaannya kenderaan akan dihentikan dalam tempoh iaitu kira-kira setengah jam berhampiran dengan ladang unta," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 200 agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah di seluruh negara.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, meminta semua agensi pelancongan di negara ini menghentikan segera pakej umrah dengan lawatan ke ladang unta berikutan jangkitan MERS-CoV.

Dr Lokman Hakim berkata, sikap segelintir agensi pelancongan yang tidak mematuhi nasihat dan garis panduan ditetapkan serta memandang ringan risiko jangkitan MERS-CoV amat mengecewakan.

Beliau berkata demikian susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 16 Februari lepas yang menyatakan terdapat 983 kes jangkitan MERS-CoV dilaporkan di seluruh dunia membabitkan 360 kematian.

Laporan itu menunjukkan bahawa jangkitan MERS-CoV masih berlaku dan belum ada sebarang vaksin untuk memberi perlindungan daripada jangkitan selain tiada ubat khusus untuk merawatnya.

- BERNAMA

Berita Harian X