Khamis, 19 Februari 2015 | 9:02am

Ronaldo bantu kemenangan Real, Porto ikat Basel


Pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo meraikan kejayaan mereka menundukkan Schalke 04 bersama penyokong pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Gelsenkirchen, Jerman awal pagi tadi. - Foto EPA

PARIS: Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau jaringan tiga perlawanan berturut-turut apabila membantu kemenangan 2-0 ke atas Schalke 04 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Jerman, awal pagi tadi.

Turun selaku penyandang juara, satu lagi gol Real dijaringkan oleh pemain antarabangsa Brazil, Marcelo pada separuh masa pertama.

Kemenangan di tempat lawan itu menyaksikan Real agak selesa untuk melangkah ke suku akhir apabila menentang semula Schalke di gelanggang sendiri di Madrid bulan depan.


PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (kanan) diasak pemain pertahanan Schalke dari Jepun, Atsuto Uchida (kiri) dan rakan sepasukannya, Marco Hoeger pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Gelsenkirchen, Jerman awal pagi tadi. - Foto AFP

"Ia jelas Cristiano Ronaldo tidak akan berterusan tanpa gol," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti.

"Ia bukan satu masalah kepada kami jika dia tidak meledak gol untuk satu atau dua perlawanan, namun mendapatkan gol menjadikannya lebih selesa," katanya.

Ronaldo menamatkan kemarau jaringannya pada minit ke-27 dengan menanduk masuk, sekali gus merapatkan rekod jaringan keseluruhannya di semua pertandingan di Eropah dan juga di Liga Juara-Juara Eropah.

Schalke pula menerima tamparan apabila pemain berbakatnya yang juga bekas penyerang Real, Klaas-Jan Huntelaar tidak dapat meneruskan permainan apabila cedera di kaki.

Sementara itu, pujian harus diberikan kepada kelab dari Switzerland, Basel yang tidak pernah melangkah ke pusingan lapan pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah, berjaya mengikat kelab Portugal, Porto 1-1.

Porto adalah juara pada 2004.


PEMAIN Basel, Derlis Gonzalez, (kiri) bertembung dengan pemain Porto, Casemiro (atas) dan penjaga gol Porto, Fabiano selepas menjaringkan gol pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium St Jakob-Park, Basel, Switzerland awal pagi tadi. - Foto AP

Jurulatih Basel, Paulo Sousa amat teruja dengan prestasi anak buahnya.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana ia adalah satu perlawanan yang amat sukar. Dengan keputusan ini ia memberi peluang kepada kami nanti ketika perlawanan kedua di Porto," kata Sousa. - AFP

Berita Harian X