Rabu, 18 Februari 2015 | 5:43pm

Rumah ahli perniagaan dilempar bahan letupan

BUTTERWORTH: Rumah sepasang suami isteri yang juga ahli perniagaan di Taman Mesra Permai, di sini, dilempar bahan letupan, dipercayai mercun awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Abdul Rahman Ibrahim, berkata dalam kejadian 2.15 pagi itu, mangsa dan suaminya bersama tiga anak mereka berusia 12 hingga 17 tahun serta seorang pembantu rumah, sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar letupan kuat.

"Mangsa berusia 42 tahun yang sedang tidur dalam bilik di tingkat dua bergegas turun ke tingkat bawah untuk membuat pemeriksaan dan ketika itu terdengar bunyi motosikal beredar dari kediamannya.

"Wanita itu kemudian memanggil suaminya berusia 44 tahun dan mereka membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan tempat letak kereta depan rumah dalam keadaan berselerak dengan serpihan kaca dari pintu gelongsor yang pecah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga mendapati terdapat kesan terbakar di pekarangan rumahnya dan kerosakan kecil pada kereta miliknya, dipercayai akibat dilempar dengan bahan letupan itu.

"Selain itu, pintu utama, pintu pagar, rak kasut dan kerusi plastik yang berada di perkarangan rumah turut rosak serta siling tempat letak kereta pecah akibat letupan berkenaan," katanya.

Abdul Rahman berkata, rumah mangsa tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis akan cuba mendapatkan rakaman CCTV daripada jiran mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mangsa serta suami yang menjalankan perniagaan membekalkan pekerja asing, mendakwa tidak bermusuh dengan sesiapa serta tidak membuat sebarang pinjaman daripada along.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan mercun yang mempunyai daya letupan yang kuat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X