Isnin, 16 Februari 2015 | 2:34pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Abdul Aziz Mohd Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SPR adakan mesyuarat khas Rabu ini bincang PRK DUN Chempaka

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Rabu ini, berikutan kematian penyandangnya bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Khamis lepas.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub, semalam.

Mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Abdul Aziz Mohd Yusof itu akan diadakan pada 10 pagi di Ibu Pejabat SPR, di sini, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh kekosongan DUN N.06 Chempaka, hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian biasa.

"Selain itu, mesyuarat juga akan membincangkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam PRK dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X