Sabtu, 14 Februari 2015 | 3:10pm
KETUA Jurulatih Johor Darul Ta'zim, Bojan Hodak. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Liga Super: Harimau Selatan waspada ancaman PDRM

JOHOR BAHRU: Pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam, malam ini boleh dilabel pertembungan dua juara.

JDT bergelar Harimau Selatan akan hadir dengan status juara Liga Super manakala PDRM selaku juara Liga Perdana musim lalu akan membuat perhitungan penting.

Kepakaran pengendali JDT, Bojan Hodak menjadi tumpuan untuk menyusun strategi ampuh bagi memburu kemenangan kedua dan bangkit daripada kekecewaan selepas gagal pada misi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015.

Namun, ada sedikit kegusaran buat pengendali dari Croatia itu pada pertembungan yang dianggap sengit selepas status Luciano Figueroa dan Marcos Antonio masih belum dipastikan dapat diturunkan pada perlawanan itu.

Walaupun kedua-pemain itu sudah menjalani latihan di padang sebelum bertolak ke Shah Alam tetapi Hodak menegaskan tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan dua tenaga import JDT itu pada tempoh 90 minit perlawanan.

"Luciano dan Marcos sudah turun berlatih dan saya tidak anggap mereka sudah bersedia dan perlu di pantau lagi tahap kecergasan mereka malah saya mahu kedua-dua pemain itu cergas sepenuhnya.

"Jika diturunkan kemungkinan kedua-dua pemain itu tidak beraksi selama 90 minit sebaliknya dalam tempoh 70 minit sahaja dan bergantung kepada kedua-dua pemain itu seandainya terasa kesakitan lebih elok direhatkan," katanya.

Tatkala membuat persiapan untuk mencari kemenangan, Hodak tidak menyembunyi kerisauan terhadap kelibat import skuad `The Cops', Ali Ashfaq dan Dramane Traore perlu diawasi.

Pada pengamatannya, kedua-dua pemain itu cukup berbisa terutama Ali Ashfaq yang muncul penjaring terbanyak skuad itu ketika membantu PDRM muncul juara liga.

Malah dia juga mengingatkan JDT perlu mengawasi Ahmad Ezrie Shafizie Sazali serta bekas pemain Johor DT, Nurul Azwan Roya yang mampu beri ancaman besar.

"Barisan pertahanan PDRM juga tampak ampuh apabila menggunakan khidmat dua pemain kebangsaan, Muslim Ahmad dan Aliff Amiruddin dan penyerang kami harus bijak cari ruang dan cipta jaringan.

"Kami tak pernah temu PDRM. Tapi untuk pastikan kemenangan memihak JDT, setiap pemain perlu memainkan peranan dengan mempamerkan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata," kata Hodak.

Berita Harian X