Jumaat, 13 Februari 2015 | 7:49pm
PEMAIN Kelantan ketika menjalani sesi latihan di Padang Mardi Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, kelmarin. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Liga Super: Perlawanan Kelantan-Lions XII ditunda ke Ahad

KOTA BHARU: Perlawanan Liga Super antara Kelantan menentang Lions XII di Stadium Sultan Muhammad IV di sini yang dijadualkan berlangsung esok, ditunda ke Ahad ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata perlawanan itu ditunda bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia semalam.

"Dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju dengan permohonan KAFA untuk menangguhkan perlawanan Kelantan menentang Lions XII yang dijadualkan esok (14 Februari), perlawanan akan diadakan pada Ahad ini.

"Ini adalah tanda hormat KAFA dan rakyat kepada bekas Menteri Besar (Nik Abdul Aziz) dan KAFA akan menghantar surat rasmi hari ini kepada FAM dan Singapura (Lions XII)," katanya dalam laman sosial Facebooknya, hari ini.

Annuar berkata pihaknya juga bersetuju untuk menanggung segala kos perbelanjaan selepas penangguhan perlawanan ini dibuat.

"KAFA bersetuju menanggung segala kos akibat dari penangguhan ini, saya faham penangguhan ini mungkin menimbulkan kesulitan kepada pasukan pelawat, pegawai perlawanan, krew siaran langsung, media, bukan saja bagi Liga Super tetapi turut menjejaskan perlawanan pasukan belia.

"Saya memohon maaf atas segala kesulitan demi menghormati kembalinya ke rahmatullah Tok Guru Nik Abdul Aziz bekas Menteri Besar Kelantan, semoga perlawanan pada 15 Februari ini berjalan lancar," katanya.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di kediamannya pada jam 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini hari ini.

Allahyarham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, dirawat di hospital itu sejak 19 Januari lepas kerana kanser prostat. - BERNAMA

Berita Harian X