Rabu, 11 Februari 2015 | 6:08pm

Yayasan Peneraju bangunkan 3,500 akauntan Bumiputera menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan program perakaunan kendalian Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, yang kini dibuka untuk pendaftaran.

Program berkenaan bertujuan membangunkan kira-kira 3,500 akauntan bertauliah Bumiputera menjelang 2020, kata Yayasan Peneraju dalam satu kenyataan di sini.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju berkata Gelombang 2 Program Yayasan Peneraju yang dibuka bermula tahun ini hingga 2017, akan memberi fokus terhadap program pensijilan asas termasuk Certified Accounting Technician (CAT), Certificate in Finance, Accounting and Business (CFAB) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Program itu menyasar 16,000 golongan Bumiputera akan menerima manfaat daripadanya.

"Yayasan Peneraju diberi mandat untuk meningkatkan kuantiti akauntan profesional Bumiputera selaras dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

"Keperluan untuk melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah sememangnya penting bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Pada tahun ini saja, Yayasan Peneraju sudah membuka pendaftaran kepada 600 Bumiputera yang bakal menikmati pelbagai peluang latihan," kata Perdana Menteri dalam kenyataan itu.

Antara program yang ditawarkan Yayasan Peneraju ialah Program Peneraju Profesional Akauntan Muda, Program Peneraju Profesional Akauntan Sarjana Muda, Program Peneraju Profesional Akauntan Siswazah dan Program Peneraju Profesional Akauntan.

Yayasan Peneraju juga memperluaskan tawaran program perakaunannya bagi pelbagai golongan termasuk untuk lepasan SPM, lepasan asasi, pemegang sijil asas perakaunan, lepasan matrikulasi, lepasan diploma, pelajar tahun ketiga ijazah sarjana muda dan juga lepasan ijazah sarjana muda.

"Saya ingin menyeru golongan Bumiputera supaya jangan lepaskan peluang untuk menceburi kerjaya sebagai akauntan bertauliah kerana kerjaya ini mempunyai nilai pasaran tinggi yang mampu menjana pendapatan yang lumayan," kata Najib dalam kenyataan itu.

Gelombang pertama program itu berakhir 31 Disember 2014 (dari tahun 2012) yang sudah memberi manfaat kepada lebih 4,000 Bumiputera membabitkan 51 program, 28 pengkhususan kerjaya serta 10 industri merangkumi perbelanjaan sejumlah RM71.2 juta. - BERNAMA

35 dibaca
Berita Harian X