Rabu, 11 Februari 2015 | 4:17pm

Polis Kedah tahan 3 lelaki, 1 wanita bersama senjata, kad kuasa palsu


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan senjata api, peluru, alat renjatan elektrik serta gari yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Seraya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kedah hari ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan tiga lelaki dan seorang wanita bersama senjata api dan peluru, selain pelbagai kad kuasa palsu yang disyaki digunakan khusus untuk tujuan jenayah.

Semua suspek ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi di sebuah rumah di Taman Desa Seraya di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya, berkata dalam serbuan itu, seorang lelaki bertaraf penduduk tetap berusia lingkungan 50-an ditahan bersama seorang wanita tempatan berusia dalam 40-an serta dua lelaki warga asing masing-masing berusia 40-an dan 60-an.

"Selain tangkapan, kita turut merampas sepucuk pistol jenis Beretta dan sepucuk lagi pistol tiruan jenis sama, satu kelopak peluru dan pelbagai jenis kad kuasa tiruan yang dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X