Rabu, 11 Februari 2015 | 2:45pm

Pesawah maut motosikal rempuh kereta

JITRA: Seorang pesawah maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta di Monggol Bongor, Megat Dewa dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian 11.20 pagi itu, mangsa Muhammad Zainol Ishak, 70, dari Jalan Putra, Sanglang, Ayer Hitam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari Pekan Megat Dewa menuju ke Ayer Hitam dekat sini, dikatakan secara tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an.

"Akibat rempuhan itu mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kita turut tahan pemandu kereta itu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Rahim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat Muhammad Zainol dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sanglang, lewat petang ini.

- BERNAMA

Berita Harian X