Selasa, 10 Februari 2015 | 9:14pm
Kapten skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Nazirul Naim Che Hashim

Ini hanya permulaan; kami mahu trofi lagi - Nazirul Naim


Skuad Harimau Muda Bawah 22 meraikan kemenangan bersama Piala Emas Bangabandhu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Skuad Harimau Muda berjaya menewaskan pasukan tuan rumah 3-2 pada perlawanan akhir Piala Emas Bangabandhu 2015 di Stadium Bangabandhu, Dhaka, Bangladesh. - Foto Fariz Iswadi Ismail

SEPANG: Menjulang trofi Piala Emas Bangabandhu 2015 disifatkan kapten skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Nazirul Naim Che Hashim kejayaan yang mengejutkan namun ia bukan misi utama skuad muda itu, tahun ini.

Mengakui terkejut dengan permainan dan semangat ditampilkan terutama pemain junior pada aksi final, Ahad lalu, Nazirul mahu semua rakan sepasukannya fokus kepada misi utama iaitu kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2016 selain Liga Singapura, bulan depan.

Antara pemain paling senior dalam skuad bimbingan Razip Ismail, Nazirul turut mengakui berbangga beraksi bersama pasukan yang dibentuk daripada gabungan pemain Harimau Muda A, B dan C itu sekalipun tidak menafikan masih ada beberapa sudut yang perlu dipertingkatkan.

Bagi Nazirul persembahan pasukan itu terutama pemain muda boleh diberi pujian meskipun diakui masih kurang pengalaman beraksi terutama di pentas tertinggi.

"Saya pun tidak jangka mereka boleh lakukan pada perlawanan yang bertahap tinggi, tempo laju selain suasana final yang mereka tidak pernah lalui.

"Jadi saya cukup berbangga dengan mereka dan berharap mereka fokus, terus kerja keras kerana sasaran utama kami adalah di kelayakan kejohanan AFC (Piala Asia Bawah 23 tahun).

"Bagi saya, tiada lagi istilah A,B dan C dalam pasukan ini dan sekalipun bekas pemain HMA mungkin memiliki sedikit kelebihan, kami juga akan berkongsi segala pengalaman yang ada untuk memastikan pasukan ini berjaya," katanya selepas tiba di KLIA bersama rakan sepasukan dan staf kejurulatihannya, hari ini.

Malaysia menewaskan tuan rumah, Bangladesh 3-2 di final dengan Nazirul turut menyumbangkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma cantik.

Selain Nazirul, skuad B-22 negara diperkuat beberapa bekas pemain skuad HMA kendalian Datuk Ong Kim Swee, tahun lalu seperti penjaga gol Farhan Abu Bakar, Ariff Farhan Md Isa, Amirul Hisyam Awang Kechik, Adam Nor Azlin, Syahrul Azwari Ibrahim, Ridzuan Abdunloh Pula serta penjaring gol kemenangan Faizat Ghazli.

Skuad B-22 selepas ini akan mengharungi persahabatan antarabangsa bertemu Indonesia B-22 di Surabaya pada 17 Februari ini serta dua aksi di Kuala Lumpur bertemu Fiji B-23 (23 Februari) dan Pakistan B-22 (26 Februari) sebelum memulakan saingan Liga Singapura (Liga S) 2015 pada 2 Mac.

Selepas itu, mereka akan memulakan aksi Kumpulan I bagi pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2016 bertemu Vietnam pada 27 Mac, Macau (29 Mac) dan Jepun (31 Mac) di Kuala Lumpur.

Berita Harian X