Selasa, 10 Februari 2015 | 1:41pm

IPP Malaysia naik 7.4 peratus pada Disember 2014

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 7.4 peratus pada Disember 2014 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan positif dalam semua indeks, pembuatan (7.8 peratus), perlombongan (6.9 peratus) dan elektrik (3.0 peratus)," demikian menurut Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.

IPP pada November 2014 disemak semula kepada 4.8 peratus, berasaskan perbandingan tahun ke tahun.

Dalam terma pelarasan musim, IPP pada Disember 2014 meningkat sebanyak 2.0 peratus berikutan kenaikan dalam indeks pembuatan (3.6 peratus) dan elektrik (0.1 peratus).

Mengikut jabatan itu, berasaskan perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran pembuatan mencatat peningkatan kukuh sebanyak 7.8 peratus, pada Disember 2014 selepas kenaikan 3.9 peratus pada November tahun lalu.

Subsektor utama yang menunjukkan peningkatan pada Disember 2014 ialah produk peralatan elektrik dan elektronik (18.3 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.2 peratus); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.1 peratus).

Pengeluaran sektor perlombongan mencatat peningkatan sebanyak 6.9 peratus berbanding bulan sama tahun 2013 disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak mentah (12 peratus) dan indeks gas asli (1.4 peratus).

Pengeluaran sektor elektrik meningkat 3.0 peratus, pada Disember berasaskan perbandingan tahun ke tahun bagi bulan dalam kajian.

Secara keseluruhannya, pada suku keempat tahun 2014, IPP Malaysia berkembang 5.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan semua indeks iaitu pembuatan (4.9 peratus), perlombongan (8.6 peratus) dan elektrik (3.2 peratus). - BERNAMA

Berita Harian X