Sabtu, 30 Ogos 2014 | 11:14am
JAGUH Switzerland, Roger Federer meraikan kemenangan dengan menundukkan pemain Austraia, Sam Groth untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat di New York.

Terbuka AS: Federer bergelut sebelum mara, pilihan wanita berdepan kejutan

NEW YORK: Bintang tenis Switzerland, Roger Federer mengatasi kesukaran diberikan pemain Australia yang memiliki servis hebat, Sam Groth dengan kemenangan 6-4, 6-4, 6-4 untuk mara ke pusingan ketiga Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat, hari ini.

"Kamu tidak mempunyai banyak masa untuk mengubah permainan kamu," kata pilihan kedua kejohanan, Federer ketika membalas servis dengan kelajuan 228.53 Kmj pemain di ranking ke-104 dunia itu.

"Dia mempunyai servis yang hebat, tangan saya masih bergegar," kata Federer yang turut melakukan sembilan servis ace mengatasi lapan yang dimiliki Groth.

Lawan Federer yang memiliki lima kejuaraan di Terbuka AS di pusingan ketiga ialah pemain Sepanyol, Marcel Granollers, yang mencatat kemenangan sukar 7-6(6) 6-7(3) 7-6(5) 3-6 6-4 ke atas pilihan ke-25, Ivo Karlovic dari Croatia.

Dalam kategori wanita, beberapa keputusan mengejutkan dicipta termasuk penyingkiran pilihan kedua kejohanan, Simona Halep, pilihan keenam, Angelique Kerber dan juara dua kali Venus Williams.

Halep yang juga pemain nombor dua dunia tunduk kepada pemain Croatia berusia 32 tahun, Mirjana Lucic-Baroni 7-6 (8/6), 6-2 manakala pemain berusia 17 tahun Switzerland, Belinda Bencic mengatasi pemain Jerman, Kerber 6-1, 7-5.

Dan lawan untuk Lucic-Baroni yang ketika ini berada di ranking 121 dunia ialah pilihan ke-13 dari Itali, Sara Errani yang mencatat kemenangan sukar ke atas Williams 6-0, 0-6, 7-6 (7/5).

"Ia menakjubkan, mengagumkan, saya berasa amat aneh," kata Lucic-Baroni yang melangkah ke pusingan empat kejohanan Grand Slam buat pertama kali sejak kali terakhir mara ke separuh akhir Wimbledon pada 1999 ketika berusia 17 tahun.

Dalam pada itu, Bencic yang juga juara remaja Wimbledon dan Terbuka Perancis pada 2013 dan berada di ranking ke-58 akan bertamu bekas pemain nombor satu dunia, Jelena Jankovic yang mara dengan kemenangan 6-1, 6-0 ke atas pemain Sweden, Johanna Larsson.

"Ia menakjubkan kerana tahun lalu saya bermain di kejohanan remaja di sini dan kini saya berada di pusingan keempat," kata Bencic yang dilatih bekas pemain handalan dunia, Martina Hingis.

Sehingga kini, Grand Slam terakhir tahun ini itu sudah kehilangan empat pemain di kedudukan 10 terbaik selepas penyingkiran pusingan kedua Agnieszka Radwanska dan Ana Ivanovic. - AFP

Berita Harian X