Jumaat, 6 Februari 2015 | 6:44pm
ANGGOTA polis merampas sejumlah kabel yang disyaki dicuri bernilai RM130,000 di Bukit Metajam di sini hari ini. - Foto Danial Saad

Polis rampas kabel curi RM130,000 di Bukit Tengah

BUKIT MERTAJAM: Polis menyerbu sebuah pusat pengumpulan barang-barang lusuh di Bukit Tengah, di sini hari ini dan merampas sejumlah kabel yang disyaki dicuri bernilai RM130,000.

Jurucakap polis berkata, serbuan pada jam 11 pagi oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu adalah hasil risikan berikutan maklumat awam mengatakan terdapat beberapa guni berisi gulungan kabel di dalam premis itu.

"Kabel-kabel yang kami rampas itu ialah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan beberapa syarikat telekomunikasi yang dipercayai dijual oleh individu yang mencurinya daripada pencawang elektrik.

"Semasa serbuan, terdapat dua lelaki iaitu masing-masing penjaga premis dan pemandu forklift sedang bekerja serta tiga lelaki warga asing yang mendakwa datang ke situ untuk menjual barangan lusuh," katanya.

Beliau berkata, penjaga premis dan pemandu forklift itu ditahan untuk siasatan manakala tiga lelaki rakyat asing itu dibebaskan setelah polis mengambil keterangan mereka.

Jurucakap itu berkata, siasatan awal mendapati premis itu menjadi tempat penjualan kabel yang popular di kawasan berkenaan kerana harga yang ditawarkan adalah tinggi.

Pusat pengumpulan barang lusuh itu akan memproses kabel-kabel yang dibeli itu untuk diambil tembaga yang terdapat didalamnya sebelum dijual semula kepada sebuah syarikat lain, katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang mengesan pemilik premis itu bagi membantu siasatan. - BERNAMA

14 dibaca
Berita Harian X