Jumaat, 6 Februari 2015 | 10:20am

Pusat pemindahan banjir di Sematan dijangka tutup hari ini


Anggota Bomba dan Penyelamat dan membantu penduduk untuk dipindahkan ke tempat selamat di Kampung Judin, Sematan. - Ihsan Bomba

KUCHING: Berikutan keadaan cuaca bertambah baik sejak semalam, pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Paon di jalan Lundu-Sematan, kira-kira 100 km dari sini, dijangka ditutup hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, ketika ini jumlah mangsa di pusat pemindahan di seluruh Sarawak kekal 196 seperti malam tadi dengan 45 daripadanya berada di Sematan, dalam bahagian Kuching manakala 151 lagi di dua pusat pemindahan banjir dalam bahagian Betong.

Katanya, semua mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing tengah hari ini, jika keadaan cuaca mengizinkan.

Sementara itu, beliau berkata, keadaan banjir pulih sepenuhnya di bahagian Betong bagaimanapun mangsa yang berada di dua pusat pemindahan, iaitu di Dewan Panglima Rentap serta Klinik Kesihatan Nanga Budu, tidak dapat pulang ke rumah panjang masing-masing kerana struktur bangunan kediaman mereka disahkan tidak selamat akibat kejadian tanah runtuh.

Dalam pada itu, katanya, banjir yang menjejaskan 12 kampung sekitar kawasan Sematan semalam, semakin pulih, namun mangsa tidak dapat pulang ke rumah malam tadi memandangkan keadaan gelap. - BERNAMA

Berita Harian X