Jumaat, 6 Februari 2015 | 8:20am

Keganasan cemari separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika


PEMAIN Ghana, Jordan Ayew melakukan sepakan penalti yang membolosi gawang Equatorial Guinea pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto EPA

MALABO: Insiden keganasan mencemari perlawanan separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika apabila Ghana melangkah ke final Ahad ini hasil kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah, Equatorial Guinea ketika aksi terganggu selama 34 minit pada babak kedua.

Penonton memenuhi kawasan padang menyebabkan perlawanan terhenti lapan minit sebelum wisel penamat apabila mereka berkumpul di belakang gawang gol selepas peminat tuan rumah menyerang penyokong Ghana dan membaling objek dari tempat duduk mereka.

Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan helikopter untuk menyuraikan penyokong dan menyebabkan tempat duduk hampir kosong sebelum perlawanan ditamatkan apabila pengadil membenarkan aksi dua minit sebelum wisel penamat.


PEGAWAI polis mengeluarkan perusuh yang masuk ke padang lalu cuba menyerang pengadil sewaktu berlangsungnya perlawanan peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika, antara Ghana menentang Equatorial Guinea awal pagi tadi. - Foto EPA

Penalti kontroversi yang disempurnakan Jordan Ayew pada minit ke-42, dikatakan menjadi punca tercetusnya keganasan dan diikuti gol daripada Mubarak Wakaso dan Andre Ayew bagi memastikan Ghana mara kali kesembilan pada final kejohanan itu menentang Ivory Coast.

Ghana membuka tirai jaringan selepas penjaga gol Equatorial Guinea, Felipe Ovono menjatuhkan penyerang Kwesi Appiah ketika dia meluru hasil hantaran bijak.

Keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti ternyata mencetuskan kemarahan di kalangan penyokong tuan rumah.


PEMAIN berkumpul di tepi padang selepas berlaku gangguan penyokong pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto EPA

Bagaimanapun, gol kedua yang muncul selepas itu tidak dapat dipertikaikan apabila Christian Atsu meluru membuat serangan sebelum mengumpan kepada Wakaso untuk merembat pada minit terakhir babak separuh masa pertama.

Ghana yang turun beraksi tanpa kapten, Asamoah Gyan yang mengalami kecederaan, menyaksikan percubaan Andre Ayew tersasar ketika gawang terbuka luas pada 10 minit babak kedua.

Bagaimanapun, dia menebus kesilapan pada minit ke-75 dengan kuisan cantik dari jarak dekat selepas Appiah memperdaya penjaga gol dengan memberi umpanan tepat.

Pengadil dari Gabon, Eric Otogo melayangkan tujuh kad kuning pada perlawanan itu tetapi kemarahan penyokong tidak dapat dibendung pada minit ke-82.


PEGAWAI polis mengawal penonton yang melakukan gangguan pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika, antara Ghana menentang Equatorial Guinea awal pagi tadi. - Foto EPA

Kebanjiran penonton di atas padang dan usaha meleraikan penyokong tuan rumah dan penyokong pelawat menyebabkan perlawanan tergendala selama 34 minit sebelum disambung semula dan kemudiannya berakhir dengan tiupan wisel penamat.

Ghana, yang menjuarai kejohanan itu selama empat kali, kini melepasi pencapaian Mesir dalam kemunculan di final. - Reuters

125 dibaca
Berita Harian X