Khamis, 5 Februari 2015 | 3:19pm

Jentera serangan JDT tetap gegar tanpa import


PEMAIN JDT, S Chanturu meraikan gol kedua pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Kemenangan 2-0 yang dirakamkan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas juara Liga India (Liga-I) pada saingan kelayakan pertama, Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015) sudah cukup membuktikan betapa pasukan yang bergelar Harimau Selatan tidak terlalu bergantung kepada kelibat pemain import.

Percaturan ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak yang melakukan rombakan tatkala kehilangan Luciano Figueroa yang mengalami kecederaan dan Jorge Pereyra Diaz yang hanya dimasukkan pada babak kedua jelas menggambarkan betapa barisan serangan pemain tempatan mampu mengucar-kacirkan benteng pertahanan kelab dari India itu.

Apa pun, pengalaman Amirul Hadi Zainal yang pertama kali beraksi selaku penyerang belum mencukupi tatkala kelibat Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan sengit itu.

Amirul Hadi dilihat sudah berusaha sedaya upaya untuk menggempur benteng pertahanan Bengaluru FC tetapi dia bukan penyerang tulen.

Bebanan yang dipikul olehnya amat berat dan tidak seharusnya menganggap pemain itu gagal menjalankan tugasan diberi.

Di sebaliknya ketiadaan barisan serangan, kelibat tiga serangkai di posisi tengah yang diterajui kapten, Safiq Rahim, Hariss Harun dan Shakir Shaari terus memainkan peranan penting untuk melakar kemenangan.


PEMAIN JDT, Jorge Rolando Pereyra Diaz, mengasak penjaga gol Bengaluru FC, Lalthuammawia Ralte pada perlawanan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto BERNAMA

Ketiga-tiga pemain itu ibarat pencetus kebangkitan JDT apabila berjaya menguasai posisi tengah dan menutup ruang barisan pemain lawan yang terpaksa menggunakan corak permainan hantaran jauh.

Akan tetapi corak itu tidak berkesan buat anak didik Ashley Westwood apabila kekentalan gandingan Marcos Antonio dan Junior Eldstal berjaya membentuk benteng yang ampuh sehingga menyukarkan barisan serangan lawan membuat percubaan berbahaya.

Kelibat K Kunanlan juga terus mempamerkan aksi konsisten apabila beraksi cemerlang di posisi bek kanan malah peningkatan juga dipamerkan Mohd Fadhli Shas yang memperbaiki mutu permainan tatkala beraksi di posisi bek kiri.

Begitu juga persembahan Nazrin Nawi yang pertama kali diturunkan di posisi sayap kiri selepas tidak beraksi pada perlawanan menentang Pahang dalam aksi Piala Sumbangsih, baru-baru akibat penggantungan.

Jelas dia tidak kekok malah larian pantas dan aksi licik olehnya berjaya memperdaya benteng pertahanan lawan.

Malah, corak permainan Mahali Jasuli di posisi sayap kanan sudah mula menunjukkan peningkatan dan kerap melakukan bola hantaran lintang dan tampak begitu kental apabila melakukan `body contact' dengan pemain lawan yang lebih mantap.

Apa pun, barisan pemain simpanan yang diturunkan Hodak terutama S Chanturu dan Jasazrin Jamaluddin nyata tidak mengecewakan terutama Chanturu yang menjadi wira buat JDT apabila jaringan pada minit ke-97 pada babak pertama masa tambahan memastikan Harimau Selatan layak ke pusingan kedua dan akan berdepan Bangkok Glass FC pada 10 Februari ini.

Apa yang boleh dirumuskan JDT memilik segalanya hanya kekuatan fizikal dan mental perlu dipertingkatkan lagi apabila aksi sedikit goyah tatkala ditekan oleh pasukan lawan dan seharusnya mereka lebih bersedia untuk pergi lebih jauh untuk membawa nama JDT dan juga imej bola sepak negara.

15 dibaca
Berita Harian X