Khamis, 5 Februari 2015 | 1:04pm
ANGGOTA polis forensik menjalankan siasatan susulan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai warga Myanmar di sebuah tapak pembinaan berhampiran Taman Perumahan Hijayu 3D, Sendayan, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Warga Myanmar ditemui mati di tapak pembinaan dekat Sendayan

SEREMBAN: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar pada tubuh di sebuah tapak pembinaan berhampiran taman perumahan Hijayu 3D, Sendayan, di sini, pagi ini.

Mayat mangsa berusia 30-an yang berlumuran darah itu ditemui seorang pekerja tapak pembinaan berkenaan pada jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam dan tumpul berdasarkan kesan kelar di leher, tangan serta lebam di beberapa bahagian tubuh.

"Kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan itu kira-kira lapan jam sebelum ditemui.

"Buat masa ini kita belum menemui dokumen pengenalan mangsa dan senjata yang digunakan," katanya di sini.

Berita Harian X