Khamis, 5 Februari 2015 | 8:43am

Piala FA: Liverpool bangkit tundukkan Bolton 2-1


PEMAIN tengah Liverpool, Philippe Coutinho (dua dari kanan) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan ketika menentang Bolton, pada saingan ulangan pusingan keempat Piala FA Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

BOLTON: Philippe Coutinho menyumbatkan gol pada minit terakhir perlawanan untuk memastikan kemenangan menjadi milik Liverpool ketika mereka menundukkan Bolton 2-1 pada saingan ulangan pusingan keempat Piala FA awal pagi tadi.

Naib juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu berdepan saingan getir apabila Eidur Gudjohnsen menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59 bagi meletakkan tuan rumah di depan.

Bagaimanapun, pelawat menarik nafas lega apabila Raheem Sterling menyamakan kedudukan pada minit ke-86 dan selang beberapa minit kemudian sentuhan Coutinho dari luar kotak penalti memastikan kemenangan berada dalam genggaman Liverpool.

Lebih bermakna apabila pemain Brazil itu sudah mengikat kontrak jangka panjang terbaharu bersama kelab Anfield itu.

"Ia memang sering menjadi perlawanan yang sengit. Ketinggalan 1-0 di tempat lawan menyedarkan kami untuk memperbaiki permainan.

"Anda perlu tetap bersabar dan terus bermain dengan baik terutama apabila menentang 10 pemain," kata Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.

Perlawanan itu turut memberi makna kepada kapten Steven Gerrard apabila membuat kemunculan ke-700 untuk skuad Merseysiders pada ketika pelawat menguasai babak separuh masa pertama sehingga menyaksikan percubaan Sterling tersasar sebelum wisel babak pertama.

Apapun, tuan rumah lebih bernasib baik apabila berada di depan hasil sepakan penalti Gudjohnsen selepas Martin Skrtel dipersalahkan kerana mengasari pemain muda, Zach Clough.

Bolton kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Neil Danns dilayangkan kad kuning kedua kerana kekasaran ke atas Joe Allen pada minit ke-66.

Liverpool kini berdepan Crystal Palace pada pusingan kelima di Selhurst Park. - AP

Berita Harian X