Rabu, 4 Februari 2015 | 3:52pm
KETUA Jurulatih Johor Darul Ta'zim Bojan Hodak memberi arahan kepada Amirul Hadi Zainal pada sesi latihan di Padang Seri Gelam , Johor Baharu semalam. - Foto BERNAMA

Ayuh JDT! Bereskan misi kita dalam 90 minit - Hodak

JOHOR BAHRU: Tanpa kelibat Luciano Figueroa pasti mengundang rasa gelisah pada barisan serangan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tekanan sudah terasa ketika ketua jurulatih, Bojan Hodak tuntut kemenangan pada saingan play-off Liga Juara-Juara Asia 2015 apabila menentang Bengaluru FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Apa pun pengendali dari Croatia itu tidak melakukan rombakan besar, sebaliknya kelibat Nazrin Nawi akan dipertaruhkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Figueroa sambil barisan masih mengekalkan Jorge Pereyra Diaz dan Mahali Jasuli.

"Memang ia perlawanan getir buat JDT ditambah pula kita terpaksa melupakan khidmat Luciano. Namun saya sudah merangka strategi yang ampuh untuk berdepan juara Liga India (Liga-I) itu.

"Kita perlu tamatkan perlawanan 90 minit dan cuba elak perlawanan diheret ke masa tambahan. Kelebihan memihak JDT yang beraksi di laman sendiri dan seharusnya pemain memberi sepenuh tumpuan untuk melakar kemenangan," kata Hodak.

Formasi yang bakal diterapkan oleh pengendali dari Croatia itu pada perlawanan malam ini terarah kepada 4-3-3 apabila mengekalkan gandingan trio Hariss Harun, kapten Safiq Rahim dan Shakir Shaari mengemudi di posisi tengah.

Benteng pertahanan juga tiada perubahan apabila gandingan Marcos Antonio dan Junior Eldstal yang beraksi konsisten ketika menewaskan Pahang 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih dikekalkan manakala posisi bek kiri dan kanan milik Mohd Fadhli Shas dan K Kunanlan dan Farizal Marlias kekal selaku penjaga gol utama.

JADUAL

Kelayakan ACL 2015

Johor Darul Ta'zim mln Bengaluru FC

(Std Larkin, 8.30 mlm)

Berita Harian X