Selasa, 3 Februari 2015 | 4:29pm

Lebih 13,000 PKS terjejas banjir di Kelantan - Mustapa


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat produk budu ketika melakukan lawatan kerja di Kampung Tebing Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. - Foto Owee Ah Chun

TUMPAT: Sebanyak 13,337 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir di Kelantan pada Disember lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, Pasir Mas mencatatkan bilangan tertinggi perusahaan yang terjejas akibat bencana itu membabitkan 3,701 usahawan, diikuti Kota Bharu (3,296), Tumpat (1,375), Kuala Krai (2,070), Gua Musang (1,361) dan selebihnya di jajahan lain.

"Sebanyak 35,446 PKS dikenal pasti beroperasi di negeri ini dan jumlah yang terjejas itu merupakan 37.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pengusaha," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengusaha keropok dan budu di Kampung Geting di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim dan Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Azran Deraman.

Mustapa berkata, SME Corp dan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Bhd mengadakan program turun padang bagi memberi penerangan kepada usahawan terjejas banjir mengenai bantuan yang disediakan kerajaan sebanyak RM10 juta di bawah tabung kecemasan khas kepada PKS.

"Seramai 980 usahawan menghadiri sesi taklimat yang dijalankan di seluruh Kelantan baru-baru ini dan cuma 43 usahawan yang kemukakan borang permohonan kepada kami. Mungkin usahawan yang selebihnya mempunyai simpanan untuk memulakan kembali perniagaan mereka," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan geran bantuan berjumlah maksimum RM20,000 serta bantuan pinjaman mudah sehingga RM100,000 kepada usahawan yang terjejas banjir di bawah tabung berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM2.5 juta bagi pembinaan 11 jeti baharu di Pengkalan Kubor sebagaimana yang dijanjikan pada pilihan raya kecil yang berlangsung Dewan Undangan Negeri berkenaan tahun lepas.

"Kami akan bina sebuah jeti besar bernilai RM250,000 dan 10 jeti kecil bernilai setiap satunya RM200,000 di kawasan Pengkalan Kubor ini kerana ramai penduduknya bekerja sebagai nelayan dan jeti sedia ada amat daif.

"Kami jangka pembinaan jeti itu akan dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh tahun ini," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X