Selasa, 3 Februari 2015 | 2:16pm
REAKSI pengurus Liverpool, Brendan Rodgers ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Anfield . - Foto EPA

Piala Liga: Rodgers beri bayangan senarai pemain berbeza temu Bolton

BOLTON (Britain): Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers membayangkan akan membuat penukaran pemain pada perlawanan ulangan pusingan empat Piala FA menentang Bolton Wanderers, pada awal pagi Rabu.

Begitupun, pengendali kelahiran Ireland itu tetap menjangkakan skuad bimbingannya mampu meraih kemenangan sekalipun Bolton memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Macron.

Pada perlawanan di Anfield, dua minggu lalu, Liverpool diikat tanpa jaringan menentang skuad bimbingan Neil Lennon itu yang beraksi di Liga Kejuaraan.

Setakat ini, The Reds hanya tewas sekali pada 12 perlawanan terakhir iaitu kepada Chelsea pada separuh akhir Piala Liga, minggu lepas namun jadual padat kempen domestik dan Eropah sedang menanti, Rodgers mengakui perlu melakukan sesuatu untuk menjaga pemainnya.

Liverpool akan berdepan tetangga Merseyside, Everton pada Sabtu dalam saingan Liga Perdana Inggeris selain beraksi dalam kempen Eropah, menentang Besiktas dalam perlawanan Piala Europa.

"Apabila kamu mendapat begitu banyak perlawanan, kamu perlu merancang lebih awal dan melihat kepadanya," kata Rodgers.

"Saya sentiasa percaya perlawanan kami selepas ini amat penting dan saya sentiasa memilih pasukan yang saya percaya boleh memenangi perlawanan. Ia akan menjadi satu perlawanan sukar buat kami, seperti yang kami lihat di Anfield.

"Kami akan mengharungi bulan yang padat. Kami mahu terus berada dalam kejohanan ini selain mengekalkan momentum dalam liga. Kami memiliki pemain yang baik yang saya yakin dan percaya dan bila masanya saya perlu untuk membuat penggiliran.

"Saya melakukannya. Objektif adalah sama, pergi untuk meraih tiga mata penuh atau mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Liverpool kembali memperoleh khidmat penyerang berbisa, Daniel Sturridge yang pulih daripada kecederaan namun Rodgers menyifatkan dia perlu berhati-hati menyenaraikan penyerang England itu dalam kesebelasan utama. - AFP

Berita Harian X